El SMDX (kiri); Dolla (kanan).
El SMDX (kiri); Dolla (kanan).
Georgie Joseph

 

Kuala Lumpur: Anggota kumpulan SMDX, El, 22, akhirnya tampil membuat permohonan maaf peribadi selepas tular isu mengenai kenyataan dirinya tidak kenal kumpulan Dolla.

Elle atau nama sebenarnya Elle Thong dengan rendah hati mengakui kesilapannya dan mengambil perkara itu sebagai pengajaran dalam terus memperbaiki dirinya sebagai pendatang baharu industri hiburan.

"Sesungguhnya saya tidak berniat untuk merendahkan sesiapapun atau cuba berlagak sombong. Saya minta maaf kepada sesiapa yang tersinggung.

"Saya sebagai orang baharu dalam industri, saya tahu banyak lagi perkara yang saya mahu belajar. Saya pun terima segala teguran dan kritikan. Saya akan berusaha memperbaiki diri," katanya.

Permohonan maaf itu dibuat selepas pengurusannya XIOKK Entertainment mengeluarkan kenyataan bagi menjawab beberapa isu membabitkan SMDX, baru-baru ini.

Dalam kenyataan rasmi itu, Pengarah Urusannya, Prashan Chitty, mengakui kekhilafan pihaknya namun terkilan dengan kecaman berunsur buli diterima SMDX.

"Kami berjanji akan perbaiki lagi cara kami. Namun, syarikat kami tidak sekali menerima apa-apa jenis kecaman yang berbaur pembulian dan memalukan artis-artis kami.

"Kami memohon maaf kerana terpaksa membuang segala komen-komen yang mengandungi sentimen sebegitu. Kami di sini, cuma ingin belajar dan berkarya," katanya.

Dalam kenyataan sama, pihak pengurusan juga mengambil maklum berhubung isu penampilan kumpulan berkenaan.

Terdahulu, Elle menerima kritikan hebat daripada netizen susulan disifatkan 'angkuh' ketika menjawab pertanyaan menerusi sesi siaran langsung di TikTok, baru-baru ini.

Elle juga dikecam kerana tidak mempedulikan kritikan mengenai cara berpakaian serta lagu nyanyian Original Sabahan yang bukan lagu asal, sebaliknya nyanyian Hezron Atmosfera.

Selain Elle, SMDX turut dianggotai Crystal Vanessa John, 23, dan Deveygrayc, 24.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 10:03 AM