Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Polis sedang mengesan seorang lelaki yang terbabit dalam kejadian samun bersenjata di sebuah rumah di Jalan Coldstream Buntong, Kampung Baru Buntong di sini, pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, berkata pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang juga peniaga berusia 30 tahun itu pada 4.13 pagi, kurang dua jam selepas kejadian.

Katanya, dalam kejadian jam 2.55 pagi itu suspek yang bersenjatakan parang menggunakan kereta jenis Nissan Almera warna putih sempat menarik rantai leher emas yang dipakai mangsa.

Katanya, kereta yang digunakan suspek ditemui ditinggalkan di sebuah lorong jalan di kawasan terbabit.

"Siasatan polis melalui rakaman CCTV (kamera litar tertutup) mendapati suspek adalah lelaki disyaki berbangsa India, memakai topi dan pelitup muka warna hitam.

"Polis sedang giat menjalankan operasi untul mengesan dan menangkap suspek terbabit," katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Josin Amatin di talian 016-2222491 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 9:40 AM