Oleh Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: FELDA Global Ventures Holding Bhd (FGV) mencatatkan perolehan yang meningkat 30.8 peratus kepada RM16.4 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014 dengan catatan keuntungan kasar sebanyak RM2.14 bilion.

Pada 2013, FGV mencatatkan keuntungan kasar RM878.27 juta dan meningkat kepada RM2.14 bilion pada tahun lalu berikutan peningkatan harga minyak sawit mentah (MSM).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Mohd Emir Mavani Abdullah berkata, tahun lalu harga MSM mencatatkan RM2,410 setan metrik berbanding RM2,333 pada 2013.

Beliau berkata, pihaknya mengunjurkan harga MSM akan berada pada kadar RM2,200 hingga RM2,500 setan metrik sepanjang tahun ini.

“Kadar gred perahan (OER) juga meningkat lebih tinggi 21.01 peratus berbanding 20.44 peratus pada tahun sebelumnya membantu meningkatkan kadar perolehan syarikat.

“Perkembangan kewangan syarikat juga meningkat pada tahun ini berikutan pengambilalihan FELDA Holding Bhd (FHB) secara sepenuhnya oleh FGV daripada 51 peratus pegangan ekuiti oleh Koperasi Permodalan FELDA Malaysia Bhd (KPF),” katanya pada taklimat kewangan FGV suku keempat 2014 di sini, semalam.

Untuk suku keempat 2014, FGV mencatatkan keuntungan bersih yang meningkat daripada kerugian sebanyak RM9.3 juta pada suku ketiga kepada keuntungan bersih RM20.21 juta.

Mohd Emir berkata, dengan situasi kelemahan ringgit dan harga MSM yang tidak menentu, 2015 akan menjadi tahun mencabar bagi industri dan kumpulannya.

“Bagi prestasi jualan MSM, musim sejuk mengurangkan permintaan di pasaran tradisonal seperti Pakistan, China, India dan Kesatuan eropah (EU), tetapi ia dalam jangka masa pendek dasn dijangka kembali meningkat menjelang musim panas.

“Dua syarikat perniagaan baru kami iaitu PT Bumi Agro Nusantara berpangkalan di Indonesia dan FGV Trading (FGVT) dijangka memberi sumbangan kepada kumpulan bermula 2015 dan ke depan,”katanya.

Katanya, pihaknya juga merancang untuk menstruktur semula syarikat dalam kumpulan menerusi gabungan dan perniagaan bukan teras serta aset tidak menguntungkan bagi mengukuhkan prestasi kewangan FGV.

Sementara itu, mengulas laporan sebuah akhbar mengatakan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji Tan Sri Ismee Ismail akan menggantikan beliau berikutan kontraknya tamat Julai ini, katanya beliau tidak menerima sebarang makluman mengenai perkara itu.

“Lebih baik anda bertanya kepada akhbar berkenaan dan saya tidak mahu mengulas sebarang spekulasi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Februari 2015 @ 7:34 AM