Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) perlu menggunakan bantuan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berikutan kegagalan mereka melunaskan wang hadiah kemenangan Le Tour de Langkawi (LTdL) tahun ini.

Bagaimanapun, timbul persoalan mengenai isu berkenaan kerana KBS melalui Majlis Sukan Negara (MSN) sebelum ini sudah memberi RM1.6 juta kepada PKBM sebelum bermulanya perlumbaan edisi ke-19 itu yang berlangsung dari 26 Februari hingga 7 Mac lalu.

Menurut Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, pihaknya sudah mengarahkan Pesuruhjaya Sukan, Ahmad Shapawi Ismail menyiasat perkara itu dan mencari jawapan kenapa wang hadiah kemenangan itu belum dijelaskan oleh PKBM kepada pemenang perlumbaan lebuh raya terulung di rantau ini.

“Jika peruntukan itu sudah tiada, saya meminta mereka agar memberitahu kementerian, supaya kami boleh memeriksa jumlah baki yang perlu dibayar,” katanya semalam.

Jelasnya, perkara itu perlu dilakukan demi imej LTdL kerana ia boleh menyebabkan pasukan yang belum menerima wang hadiah kemenangan itu tidak akan datang beraksi lagi.

“Jika pasukan itu tidak dibayar, mereka tidak akan datang lagi, jadi apa lagi boleh kami lakukan?,” katanya.

Peristiwa yang berlaku itu mengingatkan kembali masalah hampir sama apabila KBS terpaksa menyelamatkan penganjur LTdL edisi 2006, First Cartel Sdn Bhd yang tidak dapat membayar kos penganjuran RM10.7 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 November 2014 @ 5:10 AM