NORAZMAN Abu Samah. FOTO BERNAMA
NORAZMAN Abu Samah. FOTO BERNAMA
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Selepas pelbagai kejayaan dicipta pelumba lebuh raya negara, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) berharap Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) dapat memberikan semula peruntukan RM1.5 juta yang ditarik pada 2013.

Pengerusi Jawatankuasa Berbasikal Lebuh Raya PKBM, Norazman Abu Samah berkata, peruntukan itu amat penting bagi tujuan pembangunan skuad lebuh raya negara.

"Selepas kita berjaya di Sukan Sea Singapura pada 2015, Sukan Sea Kuala Lumpur 2017, Sukan Sea Hanoi 2021 dan Sukan Sea Kemboja 2023, kami mengharapkan agar peruntukan dana yang ditarik akibat kegagalan di Sukan Sea 2013 dapat diberikan semula.

"Kejayaan pelumba wanita kita layak beraksi di Sukan Olimpik juga diharapkan dapat membuka mata KBS dan MSN.

"Kami merayu peruntukan diberikan semula supaya kami dapat melahirkan lebih ramai lagi pelumba lelaki dan wanita lebuh raya hingga peringkat Olimpik," kata Norazman merujuk kepada kejayaan pelumba wanita, Nur Aisyah Mohd Zubir yang berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Jelas Norazman, MSN ada membantu sepanjang ketiadaan peruntukan itu tetapi sokongan yang diberikan adalah sangat terhad.

"Bukan nak cakap MSN tidak tolong kami, tetapi mereka bantu jika dirasa perlu dan hanya dalam kes-kes tertentu sahaja. Sebab itu, saya minta mereka menghalalkan semuanya pada detik ini demi pembangunan skuad lebuh raya negara," katanya.

Pada 2013, KBS dan MSN menarik balik peruntukan sebanyak RM1.5 juta yang diberikan bagi program pembangunan skuad lebuh raya negara selepas gagal memenangi pingat emas di Sukan Sea Myanmar 2013.

Malah, PKBM turut digantung sementara selepas itu selepas didakwa wujudnya kelemahan dalam tatacata pengurusan kewangan badan induk itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2023 @ 7:50 PM