SHAPAWI (tengah) bersama Hannah dan Abu Samah pada sidang media di Dewan Podium Menara Kementerian Belia dan Sukan, hari ini. FOTO Bernama
SHAPAWI (tengah) bersama Hannah dan Abu Samah pada sidang media di Dewan Podium Menara Kementerian Belia dan Sukan, hari ini. FOTO Bernama
Aida Adilah Mat


Putrajaya: Majlis Sukan Negara (MSN) kali ini dipertanggungjawabkan selaku penganjur Le Tour de Langkawi (LTdL) bagi edisi ke-27 dengan kos diperuntukkan sebanyak RM8 juta.

Bagaimanapun, peruntukan RM8 juta dikatakan masih tidak mencukupi memandangkan penganjuran sebelum ini memerlukan sekurang-kurangnya RM14 juta ke RM17 juta, namun MSN menjanjikan satu perlumbaan yang menarik.

Biarpun tarikh perlumbaan yang bermula dari 23 hingga 30 September 2023 bertembung dengan penganjuran Sukan Asia di Hangzhou China, ia dijangka tidak merencatkan perlumbaan bertemakan 'Beat The Heat' kali ini.

Perlumbaan bertaraf antarabangsa dengan usahasama di antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) itu bagaimanapun sekali lagi mengetepikan Pulau Langkawi sebagai salah satu peringkat dipertandingkan.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, ia bukan sesuatu yang baru kerana Langkawi sudah diketepikan beberapa kali pada penganjuran terdahulu sebelum ini.

"Langkawi tidak berada dalam senarai peringkat perlumbaan bukan satu yang baru. Bagi saya ia bukan luar biasa. Tambahan pula, perlumbaan di Langkawi memerlukan kos yang tinggi selain laluan tidak terlalu selesa untuk anjurkan perlumbaan.

"Bagaimanapun kali ini, sebanyak 11 negara di semenanjung akan terbabit kecuali Perlis dengan jarak keseluruhan kayuhan sejauh 1,280 kilometer," katanya selepas Majlis Pelancaran Le Tour De Langkawi di Menara KBS, Putrajaya hari ini.

Turut hadir menyempurnakan majlis pelancaran tersebut Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bersama Timbalannya, Adam Adli Abdul Halim.

Tambah Shapawi lagi, 11 pasukan benua, tujuh pasukan Pro serta pasukan kebangsaan Malaysia sudah mengesahkan penyertaan selain pihaknya sedang berunding dengan tiga pasukan Dunia (UCI WorldTeam).

Dalam perkembangan sama Hannah berkata, isu penganjuran sebelum ini tidak akan mengganggu kelancaran perlumbaan dengan pihaknya cuba melakukan yang terbaik bagi memastikan LTdL kali berlangsung dalam suasana meriah.

"Jumlah RM8 juta diluluskan sebenarnya tidak mencukupi tapi kita cuba sebaiknya untuk libatkan sebanyak mungkin negeri kali ini. Sebab itu kita memohon Menteri Besar setiap negeri untuk bantu bersama.

"Ketika ini Terengganu sedang mendahului dan kita akan bekerja berdasarkan peruntukan itu. Bukan setakat negeri, saya juga sudah cakap dengan syarikat korporat turut sama menjayakan perlumbaan edisi kali ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Julai 2023 @ 5:42 PM