NOR Atikah Alias. FOTO Baharom Bakar
NOR Atikah Alias. FOTO Baharom Bakar
Oleh Nazdy Harun

Kuala Terengganu: Yayasan Terengganu (YT) mengambil inisiatif untuk menanggung kos pengangkutan bagi membawa pulang jenazah Nor Atikah Alias, 25, yang meninggal dunia di Russia untuk dikebumikan di Pasir Puteh, Kelantan.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, insurans yang ditaja YT kepada setiap pelajarnya hanya membiayai kos perubatan hospital dan sekiranya meninggal dunia, ia hanya menanggung kos pengebumian di Russia.

Beliau berkata, YT mengambil inisiatif menanggung segala kos pengangkutan bagi membawa pulang jenazah ke Malaysia bagi dikebumikan di Jeram Linang, Pasir Puteh, Kelantan.

Menurutnya, kos membawa pulang jenazah ke Malaysia dari Moscow, Russia ialah RM10,000 di mana jenazah akan dibawa pulang dengan penerbangan Emirates dari Moscow ke Dubai (transit tiga jam) dan Dubai ke Kuala Lumpur.

"Kita mempunyai dua alternatif penerbangan iaitu pertama, jam 12.05 tengah malam Khamis waktu Russia (5.05 pagi waktu Malaysia) dan dijangka tiba di Kuala Lumpur pada 9.45 malam Khamis.

"Penerbangan kedua pada 4.55 petang Khamis waktu Russia (9.55 malam waktu Malaysia) dan dijangka tiba di Kuala Lumpur pada 1 pagi Jumaat," katanya.

Katanya, setibanya di Kuala Terengganu, YT akan menyambut jenazah pelajar berkenaan dengan sebuah van jenazah dan diiringi dua kereta pengiring pegawai YT untuk dikebumikan di Jeram Linang, Pasir Puteh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2015 @ 4:33 PM