Rangka lelaki 30-an ditemui dalam kebun getah di Kampung Lepan Rambai, Jeram Linang, hari ini. FOTO Rokaid Chik
Rangka lelaki 30-an ditemui dalam kebun getah di Kampung Lepan Rambai, Jeram Linang, hari ini. FOTO Rokaid Chik
Rokaid Chik


Pasir Puteh: Rangka seorang lelaki berusia 30-an ditemui penduduk kampung di dalam kebun getah di Kampung Lepan Rambai berdekatan kawasan perkelahan air terjun Jeram Linang, di sini, hari ini.

Ketua Polis Kelantan Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata, rangka berkenaan ditemui pada jam 11 pagi.

Katanya, pihaknya menerima panggilan daripada penduduk kampung berikutan penemuan rangka yang belum dikenal pasti identiti.

"Hanya terdapat cebisan baju belang yang dipakainya masih terlekat pada rangka berkenaan.

"Berdasarkan pada gigi penuh yang terdapat pada rangka itu, kita menganggarkan usianya dalam lingkungan 30-an," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, hari ini.

Beliau berkata, polis akan menjalankan siasatan lanjut termasuk mengkaji laporan penduduk kampung berhubung kehilangan seorang lelaki lebih empat bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 January 2017 @ 8:31 PM