Keadaan pekan Permatang Pauh yang masih tertinggal dari arus pembangunan dengan keadaan jalan yang sempit dan bangunan rumah kedai yang usang. FOTO Rosli Ahmad
Keadaan pekan Permatang Pauh yang masih tertinggal dari arus pembangunan dengan keadaan jalan yang sempit dan bangunan rumah kedai yang usang. FOTO Rosli Ahmad

Oleh Nurul Huda

Permatang Pauh: Pekan Permatang Pauh masih suram dari segi pembangunan dan hanya bangunan lama menjadi mercu tanda kawasan berkenaan.

Ia sekali gus menyebabkan ada yang mendakwa pekan itu sebagai pekan mati dan sunyi terutama menjelang senja.

Peniaga, Mat Izhar Ishak, 40, berkata, pembangunan dan kemajuan di Pekan Permatang Pauh agak perlahan sejak beberapa tahun lalu.

"Tiada sebarang projek pembinaan bangunan premis baru seperti yang terdapat di mana-mana pekan berhampiran termasuk Baling, Kedah yang dilihat lebih maju daripada kawasan ini.

"Kalau di sini pada hari biasa, 8 malam dah sunyi sepi dan suram. Bagaimanapun, pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh, keadaan sedikit meriah dengan kehadiran orang ramai daripada kawasan luar termasuk Kuala Lumpur,” katanya.

Katanya, dia sudah berniaga di warung milik bapanya sejak lebih 15 tahun, namun melihat pekan itu tidak banyak berubah.

"Kalau ada pun hanya penambahbaikan jalan raya yang berlubang dan rosak, selebihnya tiada pembangunan di kawasan ini," katanya.

Penduduk, Mat Izham Ishak, 42, berkata, dia sudah tinggal di pekan Permatang Pauh sejak lebih 20 tahun lalu.

"Hanya bangunan lama di sini. Tiada pembangunan pesat di lakukan di sini menyebabkan ada segelintir pihak mendakwa pekan ini seperti pekan mati kerana keadaannya yang suram dan sunyi.

"Kesesakan jalan raya juga berlaku hampir saban hari iaitu ketika orang mahu pergi kerja dan balik daripada tempat kerja.

"Tiada inisiatif untuk menambah infrstruktur itu dan membesarkannya bagi mengurangkan kesesakan," katanya.

Penduduk, Zulkifli Abu Bakar, 40, hairan kerana pekan Permatang Pauh seharusnya menjadi pekan yang membangun namun tidak seperti yang diharapkan.

"Penduduk di sini rata-ratanya pesawah dan kerja di kilang berhampiran. Kami juga sudah beberapa kali membuat aduan kepada pihak atasan tetapi tidak ada perubahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mei 2015 @ 8:57 PM