Oleh Nurul Huda Kosnon

Permatang Pauh: Pembangunan dan penambahbaikan jalan raya antara aspek yang sering ditagih golongan muda di negeri ini.

Selain itu, mereka juga menganggap kurangnya peluang pekerjaan di Pulau Pinang sehingga menyebabkan segelintir anak muda lain berhijrah ke tempat lain untuk mencari sesuap nasi.

Kakitangan kerajaan, Mohd Fauzi Tahir, 33, berkata aspek pembangunan di sekitar Permatang Pauh dilihat perlahan terutama sektor perbankan.

"Saya duduk di Taman Baru dan tempat ni kalau nak pergi ke bank agak jauh iaitu lebih 10 kilometer (km) untuk ke Perda. Situasi ini menyukarkan saya dan penduduk sekitar termasuk untuk berurusan dengan bank," katanya ketika di temui di sebuah restoran, di sini.

Dia yang juga bapa kepada tiga anak, berkata pembangunan di negeri itu juga tidak banyak berubah sejak hampir tujuh tahun lalu.

"Bagi saya mungkin tak ada masalah. Saya juga lihat mungkin itu faktor menyebabkan ada antara anak muda yang berpindah ke negeri lain selepas tamat (SPM) Sijil Pelajaran Malaysia untuk mencari kerja," katanya.

Penjawat Awam, Noor Shamshinar Zambri, 26, berkata perlu ada penambahbaikan infrastruktur jalan raya di sekitar Permatang Pauh untuk elak kejadian tidak diingini termasuk kemalangan jalan raya.

"Jalan raya terutama di Kampung Pertama, banyak yang berlubang dan rosak. Perkara ini kalau dibiarkan tanpa pemantauan pihak berkuasa akan menyebabkan kemalangan jalan raya. Saya harap akan ada penambahbaikan dari aspek berkenaan pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu, kakitangan swasta, Nurshafiza Abdul Razak, 24, berkata dia melihat berlaku sedikit perubahan saban tahun dari aspek pembangunan di negeri itu.

"Syukur, di sini (Permatang Pauh) sudah ada peningkatan setiap tahun termasuk kemudahan pengankutan awam dan pusat beli-belah.

“Tapi jalan raya masih berlubang dan tidak diturap dengan baik. Ini amat membimbangkan kerana kami terdedah dengan kemalangan jalan raya terutama golongan kanak-kanak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 April 2015 @ 10:35 PM