Nor Fazlina Abdul Rahim


Rantau Panjang: Pekebun getah menyifatkan kejatuhan harga getah sekerap sehingga RM2.40 sekilogram sejak beberapa bulan lalu adalah paling rendah dalam tempoh 20 tahun.

Disebabkan itu, banyak kebun getah kini terbiar apabila kebanyakan pekebun tidak lagi menoreh getah dan terpaksa mencari pekerjaan lain bagi menampung kehidupan.

Malah, mereka mendakwa kebun getah lebih 400 hektar di beberapa kampung di sini yang sebelum ini mempunyai lebih 300 pekebun, kini hanya tinggal beberapa orang sahaja.

Mustafa Mamat, 56, dari Kampung Telaga Emas, di sini, berkata paras harga getah kini begitu teruk sehingga tidak mampu untuk menampung kehidupan mereka sekeluarga.

"Saya mengusahakan kebun getah seluas 0.4 hektar sejak 20 tahun lalu dan kali ini kejatuhan harga getah sekerap paling rendah iaitu RM2.40 sekilogram.

"Dengan keluasan kebun getah ini, saya hanya mampu memperoleh pendapatan RM500 sebulan. Bayangkan jika pekebun yang menoreh menggunakan sistem pawah, mereka hanya mampu memperoleh pendapatan RM250 sebulan.

"Sejak beberapa bulan lalu, kebun getah di kawasan ini mula terbiar dan sunyi kerana hasil menoreh kini tidak mampu untuk menampung kehidupan," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Penduduk, Ewin Chanuan, 62, dari Kampung Kok Pauh, di sini, berkata dia yang sebelum ini menoreh getah selama 30 tahun mengambil keputusan bertukar kepada tanaman sayur sejak tahun lalu disebabkan harga getah semakin jatuh.

"Saya mempunyai kebun getah seluas 0.4 hektar, namun kini ditinggalkan begitu sahaja. Bukan tidak sayang, namun pendapatan yang diperoleh tidak setimpal ibarat dapat letih semata-mata.

"Untuk meneruskan kehidupan, saya menanam sayur-sayuran dan berharap kerajaan mengambil tindakan sewajarnya bagi menangani masalah kejatuhan harga getah," katanya.

Penduduk, Mat Yeh Yusuff, 59, Kampung Kubang Rambutan, di sini, berkata kerajaan perlu mengawal harga getah dengan memberi subsidi atau menetapkan harga lantai supaya pekebun getah tidak terhimpit setiap kali berlaku kejatuhan harga komoditi itu.

"Sekiranya keadaan ini berterusan, kebun getah selepas ini akan bertukar menjadi hutan kerana tidak ada lagi penduduk yang menoreh getah.

"Melihat keadaan sekarang pun kebun getah sudah sunyi, apatah lagi jika keadaan ini berterusan dan pekebun juga semakin terhimpit lebih-lebih lagi ekonomi yang semakin mencabar," katanya.

Media semalam melaporkan, kerajaan sedang menimbangkan inisiatif khas untuk membantu 500,000 pekebun kecil getah seluruh negara yang bergelut akibat kejatuhan harga komoditi itu, ketika ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, dilaporkan berkata, dua cadangan yang dikemukakan adalah menetapkan harga lantai getah sekerap kepada lebih RM3 sekilogram atau memanjangkan tempoh bantuan musim tengkujuh kepada enam bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 September 2022 @ 2:37 PM