Bangkok: Sekurang-kurangnya sembilan pekerja warga Myanmar maut dan 17 lagi cedera selepas lori pikap dinaiki mereka melanggar besi pembahagi jalan sebelum terbalik, kata polis semalam.

Jurucakap polis berkata, 26 pekerja itu menaiki lori pikap berkenaan untuk pulang ke asrama mereka selepas habis bekerja di sebuah kilang memproses makanan laut pada lewat kelmarin.

Katanya, kejadian berlaku di wilayah Samut Sakhon kira-kira 45 kilometer dari Bangkok.

“Kejadian ini tidak patut berlaku.

“Lori pikap itu baru keluar dari kawasan kilang sebelum terbabit dalam kemalangan,” kata pegawai polis, Chaiyuth Thomya.

Jalan raya di Thailand dianggap antara yang paling bahaya di dunia dan kemalangan yang membabitkan bas atau lori yang penuh dengan pekerja asing sering berlaku.

Wilayah Samut Sakhon antara lokasi paling ramai pekerja asing yang kebanyakannya dari Myanmar yang bekerja di industri perikanan dan makanan laut.

Thailand adalah pengeluar makanan laut ketiga terbesar dunia tetapi kini menerima tekanan antarabangsa supaya meningkatkan standard industri itu.

Kesatuan Eropah mengancam untuk menghentikan semua eksport makanan laut dari Thailand sekiranya negara itu gagal mengatasi masalah penangkapan ikan secara haram. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2015 @ 9:57 AM