PESAKIT Covid-19 dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut. FOTO AFP
PESAKIT Covid-19 dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut. FOTO AFP
Agensi

Bangkok: Sebanyak 147 kematian dan 18,901 kes baharu Covid-19 dilaporkan di Thailand, lapor Kementerian Kesihatan, hari ini.

Ia adalah kenaikan harian kedua tertinggi selepas 18,912 kes yang dilaporkan pada 31 Julai.

Bangkokpost melaporkan, daripada 18,901 kes dilaporkan, 18,158 adalah dalam komuniti, manakala 743 lagi dalam kalangan banduan.

Dalam tempoh 24 jam lalu, 18,590 pesakit Covid-19 sembuh dan dibenarkan pulang dari hospital.

Jabatan Kawalan Penyakit melaporkan daripada 147 kematian baharu, 140 warga Thailand dan tujuh warga Myanmar berusia antara 34 hingga 99 tahun.

Dua meninggal di rumah di Bangkok dan Pathum Thani.

Tujuh pesakit yang meninggal dunia mempunyai masalah darah tinggi dan 48 lagi mempunyai penyakit kencing manis.

Seramai 64 daripada mereka didapati tinggal atau mengunjungi kawasan wabak, dan 34 lagi dijangkiti virus itu daripada ahli keluarga.

Bangkok merekodkan 55 kematian, sementara 34 lagi di daerah berdekatan iaitu 11 di Pathum Thani, lapan di Samut Sakhon, enam di Nakhon Pathom, lima di Nonthaburi dan empat Samut Prakan.

Wilayah selatan mencatat 19 kematian, iaitu tujuh di Pattani, lima di Songkhla, masing-masing dua di Narathiwat dan Nakhon Si Thammarat serta masing-masing satu di Yala, Trang dan Ranong.

Wilayah utara pula merekodkan 13 kematian baru, dengan tiga masing-masing di Tak dan Sukhothai; dua masing-masing di Phayao, Kamphaeng Phet dan Chai Nat dan satu di Nakhon Sawan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Ogos 2021 @ 4:48 PM