ZAINAL (dua dari kanan) bersama penolong jurulatih Global FC Dan Padernal pada sidang media di Kuantan.
ZAINAL (dua dari kanan) bersama penolong jurulatih Global FC Dan Padernal pada sidang media di Kuantan.
Oleh Asrol Awang


Kuantan: Masalah kecederaan dan penggantungan beberapa pemain tidak mengganggu persediaan Pahang berdepan Global FC pada aksi Kumpulan G Piala AFC di Stadium Darulmakmur, malam ini.

Kapten Mohd Razman Roslan tidak boleh diturunkan gara-gara kad merah diterimanya ketika menentang Yadarnabon FC manakala dua penyerang import, Dickson Nwakaeme dan Matias Conti dijangka tidak sempat pulih daripada kecederaan.

Jurulatih Pahang Zainal Abidin Hassan berkata, misi utama meneruskan aksi cemerlang selepas mengutip tiga mata ketika menewaskan kelab Myanmar Yadarnabon FC 3-2.

“Saya percaya semua pemain mampu melakukannya selepas kami menang 2-0 ke atas Sime Darby FC dalam saingan Liga Super Sabtu lalu. Kemenangan itu memberikan semangat kepada kami untuk terus cemerlang.

“Namun, saya ingatkan pemain lebih waspada kerana Global FC pasti mahukan kemenangan selepas tewas aksi pertama,” katanya.

Zainal Abidin berkata, kemenangan ke atas kelab Filipina itu penting untuk mengukuhkan kedudukan dalam Kumpulan G kerana Pahang mahu melangkah lebih jauh pada kejohanan itu.

“Saya mahu pemain diturunkan mempamerkan aksi terbaik untuk membantu pasukan menang kali kedua bagi mengukuhkan kedudukan dalam kumpulan,” katanya.

Sementara itu, pemangku kapten Damion Stewart yakin ketiadaan beberapa pemain utama tidak menjejaskan misi mengutip tiga mata di halaman sendiri.

Katanya, tiada yang mustahil untuk mereka menambah tiga mata lagi dalam kancah Piala AFC.

“Kami mahu pastikan rentak kemenangan dan sehubungan itu, sokongan padu penyokong amat diperlukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2015 @ 7:40 AM