STEWART (tiga kanan) enggan ambil mudah cabaran Red Giants.
STEWART (tiga kanan) enggan ambil mudah cabaran Red Giants.
Oleh Asrol Awang

Kuantan: Pertahanan import Tok Gajah, Damion Stewart tidak berani memandang rendah keupayaan Selangor apabila kedua-dua pasukan dijadual bertemu di Stadium Darulmakmur, malam esok.

Berdasarkan rekod pertemuan musim lalu, Selangor memiliki kelebihan apabila mencatat kemenangan 1-0 sepanjang dua perlawanan lantas menuntut skuad kendalian Zainal Abidin Hassan itu lebih bersedia.

Bagi Stewart, walaupun Selangor tewas 0-2 kepada Terengganu pada aksi pertama liga minggu lalu, mereka tetap perlu memberikan sepenuh perhatian sepanjang tempoh 90 minit perlawanan.

Katanya, kekalahan itu sudah pasti memberi impak dan Pahang tidak akan membenarkan Selangor membawa pulang sebarang mata untuk kembali berada pada prestasi terbaik.

“Saya akui kita berdepan lawan yang sukar, tetapi kehadiran dan sokongan padu penyokong akan mengubah keadaan pada perlawanan itu.

“Pada masa sama, kami tidak sabar beraksi dengan sorakan ribuan penyokong sendiri dan kehadiran mereka amat dialu-alukan. Saya harap perlawanan ini menjadi titik permulaan kebangkitan Tok Gajah,” katanya.

Stewart berkata, mereka sudah memperbaiki kelemahan aksi pembuka tirai Liga Super iaitu Piala Sumbangsih yang menyaksikan mereka tewas kepada Johor Darul Ta’zim (Johor DT).

Justeru, bekas pemain Queens Park Rangers (QPR) itu kembali fokus memastikan tiga mata menjadi milik Pahang pada pertemuan dengan Selangor.

“Persiapan pasukan berjalan baik dan kami sudah mengukuhkan kembali jentera pertahanan yang sedikit goyah pada aksi pembuka tirai dua minggu lalu.

“Bagi mengembalikan semangat, kami perlu mengutip tiga mata dan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri yang juga aksi pertama di Stadium Darulmakmur musim ini diharap berakhir dengan kemenangan.

“Sebagai pemain, saya akui kami tidak bermain dengan baik pada aksi pertama, tetapi kami sudah sedia untuk memberikan kegembiraan kepada peminat setia skuad Tok Gajah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Februari 2015 @ 8:46 AM