Kuala Lumpur: Perkhidmatan kewangan Malaysia sepanjang 2014 menunjukkan prestasi positif apabila Bursa Malaysia menjadi destinasi utama di rantau ini dalam penjanaan dana.

Pencapaian itu turut mencerminkan usaha kerajaan mempertingkatkan dan memperluaskan kerancakan pasaran modal negara.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Mohiamad Hanadzlah berkata, Malaysia berjaya menerokai pasaran kewangan serantau berikutan usahasama Bank Negara Malaysia (BNM) dan rakan Asean lain yang mewujudkan Kerangka Kerja Pengintegrasian Perbankan Asean.

Beliau berkata, kerangka berkenaan dimuktamadkan dan diluluskan semua Gabenor Bank Pusat Asean pada 31 Disember 2014 yang merangsang perluasan dan integrasi perbankan serantau.

“Antara kejayaan dalam perkhidmatan kewangan menerusi projek permulaan (EPP) pada 2014 ialah memperkukuhkan pasaran bon yang telah meningkat kepada RM1.09 trilion setakat 30 september 2014 iaitu 5.83 peratus lebih tinggi berbanding 2013.

“Malaysia juga kekal sebagai pasaran terbesar sukuk dunia dengan penawaran sukuk korporat meningkat 37.8 peratus kepada RM53.4 bilion dalam tiga suku pertama 2014,” katanya dalam Laporan ETP 2014.

Sektor perbankan Islam mencapai perkongsian pasaran 25 peratus daripada jumlah aset dalam sistem perbankan keseluruhannya.

Aset mata wang asing dalam sektor ini juga meningkat yang menonjolkan pertumbuhan pernaigaan kewangan Islam merentas sempadan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2015 @ 8:23 AM