HAMAD Kama Piah (kanan) berbual dengan petugas di Sibu.
HAMAD Kama Piah (kanan) berbual dengan petugas di Sibu.
Oleh Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail

Sibu: Permodalan Nasional Berhad (PNB) yakin jumlah unit pelaburan Amanah Saham Bumiputera (ASB) akan terus meningkat berikutan keyakinan orang ramai yang semakin kukuh terhadap pelaburan itu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, selepas pengumuman dividen ASB meningkat kepada RM7.75 sen seunit baru-baru ini, jumlah unit pelaburan ASB mencecah lebih 2 bilion unit.

Berikutan itu, katanya, beliau yakin angka itu akan terus melonjak lagi kerana orang ramai kini yakin dengan pendapatan tinggi ASB yang konsisten dan kompetitif.

“Keyakinan orang ramai turut disumbangkan melalui program berasaskan konsep pendidikan yang kita laksanakan menerusi Minggu Amanah Saham Malaysia (MSAM) yang dianjurkan sejak 16 tahun lalu.

“Kita akan terus mencari kaedah untuk menggalakkan orang ramai terus melabur dalam ASB serta unit amanah saham lain yang kita tawarkan yang menjanjikan pendapatan tinggi untuk pelabur,” katanya selepas melancarkan e-Pendaftaran sempena MSAM 2015 di Dataran Sibu, semalam.

Hamad Kama Piah berkata, sebelum ini PNB menetapkan sasaran sebanyak 100 bilion unit pelaburan semua saham amanah yang ditawarkan dan ia berjaya dicapai pada 2009.

Katanya, sejak 2009 hingga kini, tempoh kurang enam tahun, jumlah unit pelaburan semua saham amanah PNB sudah mencecah lebih 200 bilion unit dan ini menunjukkan kefahaman orang ramai terhadap saham amanah semakin meningkat dan keyakinan mereka juga semakin kukuh.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, Kuala Lumpur dan Selangor mencatat jumlah unit pelaburan tertinggi masing-masing dengan 36.7 bilion dan 34 bilion, diikuti Sarawak (20.7 bilion), Sabah (18.5 bilion), Johor (18.4 bilion), Perak (13.4 bilion), Kedah (11 bilion) dan Pulau Pinang (10.6 bilion).

Selain itu, Kelantan mencatatkan jumlah unit pelaburan sebanyak 8.3 bilion, Pahang (7.9 bilion), Negeri Sembilan (6.7 bilion), Terengganu (6.4 bilion), Melaka (5.9 bilion) dan Perlis (2 bilion).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2015 @ 12:47 PM