AHMAD Sarji  (kiri) bersama Hamad Kama  sempena Majlis Pengumuman Pendapatan Skim ASB di Kuala Lumpur, semalam.
AHMAD Sarji (kiri) bersama Hamad Kama sempena Majlis Pengumuman Pendapatan Skim ASB di Kuala Lumpur, semalam.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Permodalan Nasional Berhad (PNB) menerusi Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 7.50 sen seunit dan bonus 1.00 sen seunit bagi Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014.

Peruntukan bagi pengagihan pendapatan itu membabitkan pembayaran sebanyak RM10.16 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 10.8 peratus berbanding dengan RM9.17 bilion yang dibayar pada 2013.

Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, pembayaran itu akan memberi manfaat kepada 8.6 juta pemegang unit yang melanggan 137.07 bilion unit ASB.

Beliau berkata, peruntukan bagi pembayaran bonus pula membabitkan jumlah sebanyak RM804.43 juta iaitu peningkatan sebanyak 19 peratus berbanding RM675.93 juta yang dibayar pada 2013.

“Sehingga 16 Disember 2014, jumlah pendapatan kasar ASB adalah sebanyak RM10.55 bilion dan pendapatan dividen yang diterima daripada pelaburan syarikat menyumbang sebanyak RM4.64 bilion atau 44 peratus.

“Pendapatan daripada keuntungan jualan saham pula menyumbang sebanyak RM4.23 bilion atau 40.1 peratus, manakala selebihnya iaitu RM1.68 bilion atau 15.9 peratus adalah daripada lain-lain pendapatan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Ahmad Sarji berkata, pengiraan pengagihan pendapatan ini adalah berdasarkan purata baki pegangan minimum bulanan bagi tempoh pelaburan sepanjang tahun kewangan 2014. Manakala pengiraan bonus pula mengikut purata baki pegangan minimum untuk 10 tahun bagi tempoh dari tahun 2005 sehingga 2014.

“Kadar pengagihan pendapatan dan bonus tabung ASB ini adalah kompetitif jika dibandingkan dengan instrumen pelaburan lain yang sesuai dijadikan perbandingan,” katanya.

Pemegang unit boleh mengemaskini buku pelaburan ASB masing-masing di ibu pejabat dan ejen ASNB di seluruh negara mulai 2 Januari 2015. Semua urus niaga bagi ASB akan ditangguhkan pada 23 Disember 2014 sehingga 1 Januari 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Disember 2014 @ 5:13 AM