Oleh Azlan Hafeedz

Kota Bharu: Tiada istilah takut atau tunduk mudah kepada pasukan jiran, Terengganu sebaliknya pemain Kelantan perlu memburu kemenangan dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam ini.

Kegagalan meraih tiga mata ketika pertemuan dengan FELDA United FC Rabu lalu, harus dilupakan segera pemain dan sebaliknya perlu bangkit menebus kekecewaan itu.

Di atas kertas, peluang dilihat menyebelahi Terengganu yang beraksi lebih konsisten musim ini tetapi pemangku ketua jurulatih Kelantan Zahasmi Ismail tetap optimis anak buahnya turut memiliki peluang sama.

Zahasmi berkata, peluang masih terbuka dan yakin The Red Warriors (TRW) mampu menamatkan saingan musim ini di kedudukan keenam atau ketujuh.

Katanya, baki lima perlawanan perlu dimanfaatkan dengan memastikan pertemuan menentang skuad kendalian Ahmad Yusof itu berpihak kepada mereka.

“Berdasarkan situasi terkini, kita bakal berdepan satu pasukan serba lengkap berbanding Kelantan yang kehilangan ramai tonggak kerana masalah kecederaan.

“Segala kemungkinan boleh berlaku kerana pasukan yang beraksi lebih baik pasti menang,” katanya.

Perlawanan itu dianggap berprofil tinggi kerana kedua-duanya memiliki rekod pertemuan seimbang selain menghidangkan ujian besar buat Zahasmi yang mengambilalih tugas berkenaan daripada Mohd Azraai Khor Abdullah, awal Julai lalu.

Berdasarkan perlawanan pusingan pertama liga, Kelantan tewas 1-2 dan mereka mahu menggunakan kesempatan ini untuk bangkit menebus kekecewaan itu.

Zahasmi berkata, sekalipun berada dalam kelompok empat terbawah Liga Super, itu tidak bermakna mereka boleh bermain sambil lewa sebaliknya harus memberikan tentangan sengit.

Katanya, pemain Terengganu memiliki ramai penjaring antaranya, Ismail Faruqi, Norshahrul Idlan Talaha, Abdul Manaf Mamat, Zairo Anuar, Ashari Samsudin dan Issey Nakajima Farran.

Menurutnya, walaupun beberapa pemain masih cedera seperti Gilmar Da Santos Filho, Mohd Nor Hazrul Mustapha, Khairul Izuan Rosli, Jonathan McKain dan Zairul Fitri, beliau tetap percaya dengan pemain sedia ada.

“Wan Zaharulnizam (Wan Zakaria) dan Wan Zack Haikal (Wan Noor) adalah taruhan utama kami bagi memecah benteng pertahanan Terengganu selain Austin Amutu serta Erwin Carillo,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Ogos 2015 @ 5:16 AM