KELANTAN sedia robek gawang Perak.
KELANTAN sedia robek gawang Perak.
Oleh Azlan Hafeedz


Kota Bharu: Jurulatih Kelantan Zahasmi Ismail mampu menarik nafas lega apabila semua pemainnya boleh diturunkan untuk bertemu Perak dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam ini.

Walaupun sukar baginya untuk menentukan kesebelasan utama, pengendali berusia 47 tahun itu mempunyai banyak pilihan dan paling penting semua mereka berada pada prestasi terbaik.

Kehadiran semula Austin Amutu selepas tidak bermain beberapa perlawanan akibat cedera lengan selain Nor Hafiz Zamani Misbah membolehkan Zahasmi merencana pasukan terbaik bagi menjinakkan Perak.

Namun, Zahasmi berpendapat, beliau perlu berhati-hati menurunkan kesebelasan pemainnya berikutan skuad kendalian Datuk M Karathu kini antara pasukan terbaik Liga Super.

Bekas pemain kebangsaan era-80an itu berkata, beliau dahagakan kemenangan ketiga sejak mengambil alih tugas daripada Mohd Azraai Khor Abdullah dan impiannya kini ialah untuk memperbaiki kedudukan dalam liga.

Namun, katanya, bukan mudah bagi mereka untuk menumpaskan Perak kerana Karathu pernah melatih Kelantan pada 2011 selain faham dengan selok belok permainan Kelantan.

“Saya perlu lakukan sesuatu termasuk mengubah strategi kerana pemain The Bos Gaurus terkenal dengan corak permainan pantas. Erwin Carillo, Gilmar Da Santos Filho, Wan Zack Haikal dan Wan Zaharulnizam tetap menjadi taruhan utama kami bagi memecahkan kubu pertahanan Perak.

“Pemain Perak seperti Bobby Gonzales, S Vikneswaran dan Haris Safwan Kamal termasuk import mereka Charles Souza Chad dan Namkung Woong perlu diawasi kerana satu kesilapan boleh mengundang padah, seterusnya mengubah senario permainan di padang,” katanya.

Dalam pertemuan pusingan pertama Liga Super, Kelantan yang ketika itu dikendalikan George Boateng hanya mencatatkan keputusan seri 0-0 di Stadium Bandaraya Ipoh.

Perak kini menduduki tangga ketiga liga selepas Pahang dan Johor Darul Ta’azim (Johor DT) dengan mengumpul 27 mata daripada 15 perlawanan manakala Kelantan pula di tangga kesembilan dengan 18 mata.

Zahasmi berkata, pemainnya perlu bekerja keras kerana Perak diimbangi oleh pemain muda serta import berkualiti.

Katanya, pasukannya tidak harus membiarkan skuad Karathu menguasai 90 minit perlawanan dan semua pemain TRW perlu fokus serta memberi komitmen sepenuhnya selain mengurangkan kesilapan untuk mengelak dihukum.

“Semua pemain perlu bermain sebagai satu pasukan dengan cara mengenepikan permainan secara individu yang boleh memerangkap diri sendiri. Jika apa yang direncanakan dapat diterjemahkan pemain, tidak mustahil kita dapat meraih tiga mata,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Ogos 2015 @ 5:06 AM