Muzik, seni dan fesyen tidak dapat dipisahkan. Basyar Mustapha kongsi tip fesyen ke festival muzik dan seni yang semakin popular dalam kalangan belia serata dunia.

Antara acara ditunggu-tunggu kebanyakan belia pada masa kini ialah festival khas untuk mereka seperti festival muzik, fesyen dan seni. Antara festival yang mendapat perhatian pada peringkat tempatan ialah Urbanscape dan Urban Xchange. Manakala di peringkat antarabangsa seperti Coachella, Firefly Music Carnival dan Bonnaroo yang menampilkan artis serta penggiat seni terkemuka seluruh dunia.

Selain muzik, perkara yang ditunggu-tunggu oleh peserta adalah peluang menunjukkan stail dan kreativiti masing-masing dalam berfesyen. Apa tidaknya, fesyen dengan festival muzik dan seni seperti ini sudah menjadi sebati di atas nama kreativiti.

Malah, jenama fesyen seperti Topman/Topshop dan H&M sedar populariti festival sebegini serta menghasilkan koleksi khas untuk peminat fesyen memakainya ke festival muzik dan seni ini.

Gen Y kali ini kongsikan tip berfesyen ke festival muzik dan seni supaya kita tidaklah nampak janggal atau lapuk malah nampak serba tidak kena ketika menikmati persembahan dianjurkan.

Kemeja- T

Cuaca yang agak panas dan orang yang ramai memerlukan kemeja- T dijadikan pilihan utama. Pakai kemeja-T yang longgar dan tidak ketat kerana ia memudahkan kita bergerak. Lebih baik pilih pakaian daripada material kapas kerana ia ringan dan menyerap peluh.

Singlet

Singlet juga menjadi pilihan terutama untuk belia lelaki. Selain ringan, ia membolehkan kulit bernafas dan tidak terlalu berpeluh. Saiz longgar dan tidak ketat tetap harus dijadikan pilihan untuk keselesaan.

Seluar

Seluar jean potongan skinny adalah yang terbaik. Jika tiada masalah, seluar pendek juga boleh dijadikan ­pilihan. Pastikan seluar tahan lasak dan tidak mudah terkoyak kerana tentunya kita akan ­banyak bergerak melawat booth, melepak atas rumput dan menari sambil mendengar muzik.

Berlapis

Walaupun festival ini selalu dibuat dalam cuaca panas, ia tidak menghalang peminat fesyen untuk mengenakan stail berlapis atau ‘layering’. Lapiskan baju kemeja-T atau singlet dengan sehelai jaket kulit atau kemeja lengan panjang atau pendek. Selain menampakkan lebih ‘volume’ pada badan kemeja atau jaket itu juga bertindak sebagai penghalang sinaran terik ‘membakar’ badan kita.

Corak dan warna

Corak pada pakaian untuk festival ini selalunya berkonsepkan ‘tribal’ dan motif alam. Namun, haruslah berpada-pada mengenakan gaya ini supaya tidak nampak seperti kertas balut hadiah bergerak pula!. Daripada segi warna, pilih warna ceria dan digabungkan dengan warna tanah seperti coklat, kelabu atau krim. Elak berpakaian serba hitam atau serba putih mahupun gabungan hitam putih.

Kasut

Festival yang selalunya dibuat di atas padang memerlukan kita memakai kasut yang bukan sahaja stailo, namun tahan lasak. Kasut jenis but, sneakers berpotongan tinggi atau ‘boatshoes’ adalah pilihan yang terbaik. Kaum adam patut elak pakai kasut formal atau sandal manakala si gadis elakkan pakai kasut tumit tinggi. Malah sandal dan sneakers patut dijadikan piilihan.

Aksesori

Antara sebab ramai anak muda yang gemar pergi ke festival muzik dan kesenian ini kerana ia tempat dan masa sesuai untuk mereka berekpresi tentang diri mereka melalui fesyen terutama aksesori. Pada masa inilah anak muda boleh memakai aksesori yang unik, gila-gila dan pelik. Topi yang unik dan aksesori kepala seperti Red Indian Headdress sering menjadi pilihan. Ramai juga yang menjadikan hiasan cengkak dengan bunga di atas kepala sesuai dengan imej festival seni dan muzik. Pastikan aksesori kepala tidak terlalu besar dan mengganggu orang lain melihat persembahan dan bergerak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 April 2015 @ 5:02 AM