GAYA kemeja-T besar antara gaya ‘oversize’ yang klasik.
GAYA kemeja-T besar antara gaya ‘oversize’ yang klasik.
Nurul Husna Mahmud


TREND fesyen 'oversize' atau potongan baju longgar antara gaya fesyen yang mula mendapat perhatian baik dalam kalangan ikon fesyen mahupun golongan biasa bermula pertengahan tahun lalu hingga kini.

Gaya santai potongan longgar sama ada mengenakan seluar atau baju yang 'menyaingi' saiz badan dilihat satu keterampilan kasual yang mampu memberi paparan segar.

Pilihan seperti mengenakan padanan baju panas bersaiz besar dan seluar kembang bahagian atas serta menguncup pada bahagian hampir dengan kaki antara gaya popular.

Menurut Pensyarah Kanan dan Koordinator Jabatan Fesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, Perak, Khalik Mustafa berpendapat gaya 'oversize' itu bukan inovasi baharu, sebaliknya 'comeback' daripada fesyen jalanan era 90-an atau awal 2000.

"Dari segi pengaruh atau populariti penggayaan fesyen potongan longgar atau besar ini sudah menjadi fenomena seiring perkembangan gaya artis barat yang mengetengahkan muzik hip hop.

"Mereka akan mengenakan seluar menggeleber sehinggakan nampak seluar bahagian 'dalam'. Ada juga mengenakan baju sejuk dengan hud atau kemeja-T yang bersaiz besar sehinggakan tulang bahu pakaian itu jatuh melebihi kedudukan bahu pemakainya.

"Tampak lebih menonjol aksesori digayakan artis era itu kerana kebanyakan tampil dengan aksesori bersaiz besar termasuk tali pinggang untuk tampak gaya lebih 'stylo'.

"Lihat gaya ikon muzik atau selebriti tersohor termasuk seperti Britney Spears yang gemar mengenakan seluar kargo iaitu potongan seluar kiri dan kanan ada poket bersama pakaian atasnya ketat membuatkan ia mendapat perhatian bukan sahaja peminatnya di barat, malah di serata dunia," katanya.

Selain Spears, artis tersohor seperti Eminem, Backstreet Boys dan artis tempatan Malaysia zaman itu seperti NICO dan 4U2C memiliki penggayaan sama dalam pemilihan fesyen potongan longgar.

Tambah pensyarah berusia 36 tahun itu lagi, setiap penggayaan trend 'oversize' itu mempunyai ikon dan ciri-ciri unik bagi setiap zaman.

"Jika menelusuri sejarah fesyen pakaian besar atau longgar itu sebenarnya sudah wujud lama dan diperlihatkan kesan budaya terhadap penggayaan itu termasuk dalam budaya pemakaian Melayu sendiri pengaruh itu sejak abad ke-15 apabila Islam bertapak di Tanah Melayu.

"Pengaruh agama termasuk adab dan kesantunan budaya timur yang menyentuh kepada menjaga kehormatan diri dengan mengenakan baju kurung berpotongan longgar mahupun baju Melayu bagi lelaki menunjukkan konsep fesyen 'oversize' itu sudah ada.

"Begitu juga dengan negara lain seperti kimono di Jepun, Hanbok di Korea atau pakaian etnik seperti Nvenda dan Iqhiya di Afrika, menekankan konsep potongan longgar untuk menutup bahagian penting tubuh," katanya.

Kini pemakaian potongan longgar itu kembali popular apabila penggayaan itu dipengaruhi artis dari Korea Selatan.

"Mengenai trend gaya pakaian potongan longgar yang kini lebih seimbang dalam penggayaan dan tidak terlalu 'melebih-lebih' termasuk dari segi penggayaan aksesori.

"Jika dilihat dalam potongan pakaian gaya berkenaan artis K-pop jua, mereka biasanya akan suai padan sama ada bahagian baju atau seluar sahaja yang bersaiz besar.

"Jaket atau kemeja-T dengan seluar potongan ketat membantu memberi ilusi lebih tinggi kepada pemakai. Begitu juga jika pemilihan seluar harem yang potongan suku dengan baju kemeja mengikut bentuk badan memberi siluet menarik bagi mereka yang menggayakannya berbanding memilih keseluruhannya bersaiz besar," katanya.

Tambah Khalik, contoh lain boleh dijadikan rujukan untuk penggayaan fesyen terbabit adalah artis tempatan seperti Neelofa turut tampil gaya itu sesuai dengan imej Muslimah.

"Dari sudut pandang pereka fesyen pula, sebenarnya rekaan longgar itu sendiri tidak semestinya dasar potongan lurus seperti silinder semata-mata. Gaya longgar itu boleh dihasilkan bagi potongan A atau 'lobak.'

"Cuma pereka kena bijak daripada segi pemilihan motif dan warna supaya tidak terlalu sarat sesuai dengan ciri-ciri kontemporari sekarang ini kebanyakan tampil dengan gaya lebih minimal.

"Material digunakan juga boleh pelbagai sesuai dengan idea pakaian geleber, tetapi masih boleh digayakan dengan kemas dan elegan.

"Contoh kebanyakan trend orang muda sekarang mereka akan memilih kemeja besar yang mana bahagian depan baju diselit dalam seluar sementara bahagian belakang dilepaskan," katanya.

Sementara itu, Perunding Imej Profesional Atiqah Halim berkata, meskipun 'oversize' adalah trend fesyen terkini, namun gaya itu perlu disesuaikan mengikut individu serta majlis dihadiri.

"Pemilihan pakaian besar atau longgar perlu mengambil kira kesesuaian tubuh supaya tidak menjadikan seseorang itu tampak terlebih berisi atau rendah.

"Mungkin bagi badan berisi, penggayaan pakaian longgar atau saiz besar ini dilihat sebagai 'perisai' menghindari rasa tidak selesa menonjolkan figura tubuh yang tidak menarik, tetapi masih perlu ada padanan sesuai.

"Tindakan seperti pakaian terlalu 'baggy' akan memberi makna dia ingin 'menyorok' sebalik pakaian atau individu itu yang tidak menjaga penampilan. Ada juga melihat gaya itu terlalu santai dan imej tidak serius.

"Ini tidak sesuai dengan konsep majlis formal dan membabitkan bidang kerja profesional terutama mereka menggayakan seluar menggeleber atau baju potongan terlalu besar," katanya.

Namun tidak bermakna konsep 'oversize' itu tidak boleh digayakan dan hanya khusus untuk mereka yang memiliki badan berisi atau kerangka besar semata-mata.

"Konsep pakaian longgar menjadi trend yang sangat diterima dalam masyarakat. Ia sangat sinonim dengan wanita yang mahu busana lebih selesa berbanding mengikut bentuk badan.

"Potongan longgar ini sangat dekat terutama mereka yang menekankan imej M

uslimah iaitu mahu tampil sopan, tetapi masih kelihatan menarik dan kemas apabila mata memandang.

"Jika lihat penggaya busana itu tidak semestinya orang berbadan besar sahaja, ada juga individu memiliki susuk kurus dan kecil tampil gaya ini kerana mahu menyerlah dengan imej sopan," katanya.

Atiqah turut menyarankan, selain merujuk kepada bentuk badan, warna dan motif juga penting supaya penampilan tidak keterlaluan.

"Warna juga aspek penting dalam pemilihan gaya busana potongan longgar. Warna dan gabungan corak yang tertentu boleh menghasilkan busana longgar memiliki siluet menarik, sekali gus menonjolkan keterampilan si pemakainya.

"Lengkapkan lagi penampilan busana longgar dengan penggunaan aksesori senada dan tidak terlalu besar bagi memperlihatkan ciri-ciri kesederhanaan dalam penampilan gaya 'oversize' berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 7:00 AM