ANTARA gaya moden yang menerapkan elemen kimono.  FOTO: Sumber Google
ANTARA gaya moden yang menerapkan elemen kimono. FOTO: Sumber Google
Hafiz Ithnin

KIMONO adalah pakaian tradisional yang sinonim dengan masyarakat Jepun.

Tempias aura pemakaiannya sudah meluas kepada aliran fesyen di seluruh dunia.

Malah, jika menjengah pentas fesyen antarabangsa, sudah banyak pereka mengambil ilham daripada pakaian tradisional itu untuk diterjemahkan dalam pelbagai reka bentuk pakaian.

Penganalisis fesyen, Faizal Hamid berkata, gaya kimono kontemporari mengambil inspirasi daripada jubah tradisional Jepun, kimono kontemporari diberi nafas moden iaitu dari segi variasi reka cetak atau corak, warna dan labuhnya.

"Ia pasti dapat menyuntik gaya santai dan ceria pada penampilan keseluruhan anda. Menerusi sedikit kreativiti dan imaginasi, kimono boleh dipakai pagi hingga malam serta untuk semua musim.

"Paling istimewa kimono berkonsepkan mudah dipakai dan cukup unik untuk digayakan dengan pelbagai padanan pakaian serta aksesori yang ada dalam almari anda seperti kemeja-T, 'skinny jeans' dan kasut tumit tinggi atau gaun," katanya.

PAKAIAN tradisional Jepun, kimono yang berkembang dalam pelbagai arus kini fesyen. FOTO: Sumber Google
PAKAIAN tradisional Jepun, kimono yang berkembang dalam pelbagai arus kini fesyen. FOTO: Sumber Google

Faizal berkata, tiada batasan dalam padanan dan penggayaan, lebih penting orang ramai perlu bijak berekesperimentasi.

"Jubah kimono juga adalah suatu pelaburan yang bijak kerana ia adalah trend musim panas yang selesa dipakai, versatil, menarik dan bergaya di mana sahaja.

"Kimono juga cukup anggun dan ideal bagi mereka yang berhijab kerana ia seperti jaket panjang yang cukup sempurna untuk gaya sopan wanita Muslimah," katanya.

Tambahnya, gaya kimono kontemporari dikatakan adalah trend gaya jalanan yang paling menular dan dapat kita lihat di mana sahaja.

"Dari kota Paris, Milan, London hingga New York kita dapat lihat komuniti fesyen terus-terusan tertarik menggayakan gaya kimono kontemporari di jalanan dengan penuh yakin serta tampil hebat," katanya.

Panduan gaya pemakaian kimono yang paling digemari:

a) Kimono dapat menambah gaya 'stylish' dan 'boho chic' pada padanan pakaian anda. Rekaan kimono yang bersaiz besar dan ringan pasti dapat menyuntik elemen segar serta santai pada penampilan tanpa terlalu mencuba.

Ramai yang gemarkan kombinasi kimono bersama seluar pendek atau jeans dan kemeja-T ringkas. Dapatkan 'sneakers' sebagai pelengkap gaya yang paling sempurna.

b) Jika anda baru mahu mencuba trend kimono, kini adalah masa paling sesuai. Ia adalah alternatif untuk kelihatan sopan dengan padanan pakaian 'trendy', tetapi masih dalam lingkungan gaya konservatif.

c) Kimono selalunya didatangkan dalam pelbagai warna terang, neutral atau lembut, pelbagai fabrik serta reka corak atau cetak yang menarik seperti inspirasi flora dan fauna serta variasi labuh kain. Pilih yang paling anda rasa selesa untuk menggayakannya.

d) Antara gaya mewah yang menyerlahkan penampilan adalah padanan kimono sutera dengan perincian sulaman atau reka corak atau cetak.

ANTARA kimono moden yang tampak ringkas tanpa corak pada fabrik. FOTO: Sumber Google
ANTARA kimono moden yang tampak ringkas tanpa corak pada fabrik. FOTO: Sumber Google

e) Padanan kimono dan gaun yang sedikit melekap ke badan hebat digayakan untuk acara atau aktiviti malam hari seperti makan malam, parti atau perkahwinan. Dapatkan gaun dalam rona neutral jika kimono anda mempunyai mempunyai pelbagai warna dan elemen rekaan.

Biarkan bahagian hadapan kimono anda terbuka untuk beri penekanan pada jatuhan kain atau fabrik yang cantik. Penampilan keseluruhan cukup elok dilengkapkan dengan kasut tumit tinggi, beg genggam dan rantai unik.

f) Untuk kombinasi gaya feminin dan 'edgy,' padankan kimono anda dengan jeans hitam potongan pensil/ketat (skinny jeans) atau besar (wide leg) dan kemeja-T hitam yang dimasukkan (tucked in) dalam pinggang seluar. Sempurnakan gaya anda dengan kasut tumit tinggi atau but buku lali (ankle but) serta aksesori seperti beg genggam bercorak dan rantai yang menarik rekaannya.

g) Jika anda berumur bawah 30 tahun, padankan kimono anda dengan selur pendek denim, 'choker', but buku lali (ankle boot) dan topi 'floppy'.

h) Bagi yang berumur atas 35 tahun, dicadangkan untuk memakai jubah kimono anda dengan seluar sutera atau gaun panjang, dipadankan dengan sandal bertali atau 'flats' dengan hiasan permata tiruan dan anting-anting bersaiz besar yang hebat.

i) Kita pasti ceria apabila menggayakan kimono kerana ia sesuai untuk semua potongan badan. Gayanya paling versatil, anggun serta mudah diintergrasi dalam pakaian seharian.

j) Lebih penting kimono paling mudah dijaga dan dibawa ke mana-mana ketika bercuti.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Oktober 2020 @ 6:31 AM