KOLEKSI aksesori sarat gaya elegan Eropah mudah disuai padan.
KOLEKSI aksesori sarat gaya elegan Eropah mudah disuai padan.
Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus


Golongan muda terutama remaja dan fesyen memang tidak boleh dipisahkan. Mereka dikatakan berani untuk mencuba pelbagai gaya terkini mengikut aliran zaman.

Bagi yang masih tercari-cari aksesori pelengkap gaya terbaru, koleksi G Davin boleh dijadikan pilihan.

Jenama tempatan yang mula diperkenalkan pada 2006 ini menampilkan rangkaian aksesori khusus untuk golongan muda dan remaja.

Koleksi jenama berkenaan dilihat berbeza dengan apa yang ada di padaran hari ini kerana ia sarat dengan gaya elegan Eropah selain ciri utamanya iaitu gabungan gaya moden untuk mudah disuai padan.

Selain itu, koleksi jenama ini juga dihasilkan deĀ­ngan menggunakan kanvas kapas pelbagai corak yang dilapisi lapisan poliester makro molekul untuk menyerlahkan gaya berkilat di permukaannya.

Lebih menarik, jika terperangkap dalam hujan sekali pun anda tidak perlu risau kerana aksesori jenama ini kalis air dan mudah dibersihkan.

Kebanyakan rekaan aksesori jenama ini pula tampil dengan tema utama bunga-bungaan yang cukup feminin dan menawan dengan pemilihan pelbagai rona menarik.

Rekaannya juga sarat dengan elemen vintaj Inggeris lama yang sememangnya sentiasa diminati dan malar segar. Koleksi jenama ini direka untuk menyerlahkan sisi remaja pemakai sempena musim panas.

Antara koleksi aksesori yang boleh dimiliki ialah beg tangan, beg tote, dompet, beg sandang belakang, beg silang serta beg untuk membawa barangan yang boleh dimiliki dengan harga berpatutan.

Koleksi menarik ini sudah pun berada di pasaran dan boleh didapati di rangkaian butik konsepnya di beberapa pasar raya terkemuka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 April 2015 @ 5:02 AM