Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

Koleksi beg dan kasut menarik daripada label popular CR2 kali ini hadir dengan gabungan elemen yang cukup bergaya untuk wanita tanpa perlu banyak berbelanja.

Antara jenama pilihan wanita muda di negara ini, gaya yang ditampilkan juga ceria dan selesa. Justeru, antara padanan gayanya ialah beg jenis sandang belakang atau silang depan bersama kasut tapak rata.

Padanan gaun mini bersama tas tangan rona terang atau jenis silang menarik digayakan. Ia sesuai digayakan bersama kasut jenis tapak baji atau ala penari balet yang comel.

Bertemu janji di hujung minggu pula, gayakan rekaan beg jenis hobo atau beg galas saiz sederhana yang tidak kurang menarik. Padanan kasut yang sesuai pula bergantung kepada aktiviti yang dilakukan namun jenis sandal atau tapak rata juga selesa digayakan meskipun seharian.

Jika mahu keluar dengan teman rapat di hujung minggu, sarungkan sepatu yang selesa seperti sneaker atau jenis tapak tebal dan rata untuk keselesaan maksimum menerusi pelbagai rekaan menarik.

Bagi penggemar beg jenis silang yang mempunyai paparan corak atau imej, koleksi Monoducks mampu menepati cita rasa berkenaan.

Beg rona putih dengan rekaan paparan imej itik comel itu boleh dilaras talinya dan pasti membuatkan anda menjadi perhatian ramai.

Tidak lengkap gaya tanpa menyarung sepatu yang selesa dan penuh bergaya menerusi pelbagai rekaan menarik.

Namun, jangan impikan kasut stileto atau jenis bertumit tinggi kerana kebanyakan rekaan di bawah jenama berkenaan terdiri daripada kasut tapak rata, ala penari balet, tapak baji dan sneaker yang sinonim dengan elemen keselesaan sepanjang hari.

Namun jika mahukan kelainan, gaya vintaj yang sarat dengan elemen 80-an dan gaya Perancis boleh dijadikan pilihan.

Koleksi kasut dan beg tangan jenama ini boleh didapati di semua rangkaiannya pada harga bermula RM69.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Disember 2014 @ 5:00 AM