LAU (kiri) dan Chin berbasikal di Rotterdam.
LAU (kiri) dan Chin berbasikal di Rotterdam.
LAU mengadakan persembahan beat boxing di Leicester, United Kingdom.
LAU mengadakan persembahan beat boxing di Leicester, United Kingdom.
LAU dan Nicholas di Bristol, United Kingdom
LAU dan Nicholas di Bristol, United Kingdom
PARIS antara negara yang dikunjungi Lau dan Chin.
PARIS antara negara yang dikunjungi Lau dan Chin.
Daripada Razlan Rashid di London

Banyak peristiwa sedih berlaku pada 2014, antaranya tragedi MH370 dan MH17 yang meninggalkan kesan mendalam kepada Lau Soong Huey dan Nicholas Chin Wai Choong.

Kedua-dua anak muda berusia 23 tahun itu yang membuat keputusan menjelajah dunia, menggunakan peluang berkenaan untuk berkongsi kisah menarik mengenai Malaysia di sebalik tragedi berganda itu.

Peringkat pertama penjelajahan membawa mereka merentas Asia dan Eropah melalui jalan darat, sebahagian besarnya dengan berbasikal dan ‘hitch-hiking’ (mengembara tumpang).

“Kami sedih dengan apa yang berlaku, tetapi tak dapat buat apa-apa. Jadi kami fikir dengan menjelajah, kami dapat berkongsi kisah keindahan tanahair dengan orang yang kami jumpa selain membuat persembahan ‘beat boxing’,” kata Nicholas Chin yang juga jurugambar profesional.

“Pada awalnya kami menaiki bas, kereta api dan ‘hitch-hike’ dari Malaysia ke China. Apabila kami tiba di Beijing, kami membuat keputusan membeli basikal yang boleh dilipat dan dibawa ke Eropah menerusi Mongolia dan Russia.

“Ini memang tiada dalam perancangan awal apatah lagi basikal Dahon yang boleh dilipat itu berharga RM1,800 sebuah dan memang tahan lasak untuk membuat penjelajahan antara benua.

Cuma apabila mereka tiba di United Kingdom, tayar salah sebuah basikal pancit.

Pengembaraan bajet murah

Pengembaraan bajet murah dua graduan media Universiti Taylor, Malaysia ini bermula pada pertengahan 2014 dan mengambil masa sembilan bulan.

Bermula dari Kuala Lumpur hingga ke United Kingdom melalui Asia Tenggara, China, Rusia, Eropah Utara dan Eropah Tengah dan Barat.

“Kami mengembara secara santai kerana matlamatnya mahu beramah mesra dengan orang yang kami jumpa.

“Biasanya kami tinggal beberapa hari di setiap bandar sebelum meneruskan perjalanan dan mengayuh basikal sekurang-kurang 50 kilometer (km) sehari,” kata Lau.

Tempat tinggal Lau dan Chin kebanyakannya dicari secara ‘couchsurfing’, iaitu aplikasi online yang membolehkan ahli menginap sebagai tetamu di rumah orang di merata tempat di dunia tanpa sebarang pertukaran wang kecuali untuk makanan dan perbelanjaan lain.

Kos mengembara ini dibiayai menerusi persembahan jalanan yang dilakukan Lau and Chin di bandar utama sepanjang pengembaraan mereka.

Lau atau lebih dikenali sebagai AbeatC adalah seorang ‘beat boxer’ berbakat.

‘Beat boxer’ adalah seni menghasilkan paluan, irama dan bunyi dram menggunakan bibir, tekak, lidah dan hidung.

Dia juga pengasas BeatNation, sebuah projek yang mempromosikan kemampuan ‘beat boxing’ Malaysia.

Sara diri dengan beat boxing

“Saya sudah ‘beat boxed’ di banyak tempat termasuk Paris, Berlin, Amsterdam, London dan Bristol.

“Hasil persembahan ini saya gunakan untuk membiayai pengembaraan kami,” katanya.

Sepanjang perjalanan itu, Lau berjumpa dengan beberapa ‘beat boxer’ dari seluruh dunia selain menyertai pertandingan ‘beat boxing’ di Paris dan Cardiff.

Bagi setiap sesi ‘beat boxing’, Chin akan menyediakan ‘pentas’ dengan meletakkan bendera Malaysia antara dua basikal dan memperkenalkan diri mereka berasal dari Malaysia.

“Memang ada menjeling kepada kami kerana mereka tahu betapa jauhnya kami mengembara.

“Ada menganggap kami tidak siuman, tetapi selepas berkongsi pengalaman, ramai yang teruja,” kata Chin.

Pengalaman paling mencabar ialah sewaktu memasuki Eropah ketika musim sejuk kerana mereka terpaksa mengayuh basikal dalam suhu beku.

Berbasikal melawan cuaca

Antara pengalaman yang mereka tidak dapat lupakan ialah berbasikal dari Irkutsk di Rusia ke Moscow sejauh 4,200km dan menempuh ribut salji di lebuh raya kerana tiada laluan basikal.

“Kami hampir berputus asa, tetapi nasib menyebelahi kami apabila ada pasangan yang berhenti dan memberi kami tumpang kenderaan mereka.

“Mereka turut mengajak kami bermalam di rumah mereka dan makan malam. Inilah keseronokan yang diperoleh yang orang lain tidak dapat rasakan,” katanya.

Chin dan Lau menamatkan peringkat pertama pengembaraan mereka dan terbang ke Kuala Lumpur pada 15 Februari lalu untuk meraikan Tahun Baru Cina dengan keluarga di Damansara Perdana dan Kepong.

Bagaimanapun, Lau dan kini berada di Rom, Itali selepas berbasikal dan ‘hitching’ dari London hing­ga Paris dan Switzerland di babak kedua pengembaraan mereka.

“Kami bercadang menjelajah negara Eropah Timur sebelum memasuki Turki dan menentukan laluan ke Asia Barat dan Afrika,” kata Nicholas.

Lau dan Chin juga menghasilkan video musik beat box yang disiarkan di saluran YouTube YouTube.com/abeatcbeatbox setiap Isnin.

Video itu turut memaparkan landskap tempat berbeza yang mereka lalui di samping persembahan bersama bakat beat box dari seluruh dunia. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2015 @ 3:18 PM