LAU Soong Huey ‘beat boxing’ di Leicester selepas berkayuh dari Kuala Lumpur. FOTO ihsan Nicholas Chin Wai Choong
LAU Soong Huey ‘beat boxing’ di Leicester selepas berkayuh dari Kuala Lumpur. FOTO ihsan Nicholas Chin Wai Choong

London: Banyak peristiwa sedih berlaku pada tahun 2014, antaranya tragedi MH370 dan MH17 yang turut meninggalkan kesan mendalam kepada Lau Soong Huey dan Nicholas Chin Wai Choong.

Kedua-dua anak muda berusia 23 tahun ini yang membuat keputusan untuk menjelajah dunia menggunakan peluang itu untuk berkongsi kisah menarik tentang Malaysia di sebalik tragedi berganda itu.

Peringkat pertama penjelajahan membawa mereka merentas Asia dan Eropah melalui jalan darat, sebahagian besarnya dengan berbasikal dan “hitch-hiking” (mengembara tumpang).

“Kami berasa sedih dengan apa yang berlaku tetapi tak dapat buat apa-apa. Jadi kami fikir dengan menjelajah ini kami dapat berkongsi kisah keindahan tanah air dengan orang yang kami jumpa di sepanjang perjalanan kami.

“Sekurang-kurangnya inilah yang dapat kami lakukan tambahan kami memang suka mengembara dan mengadakan persembahan ‘beat boxing’,” kata Nicholas Chin, yang juga jurugambar profesional ketika diwawancara di Brighton, East Sussex baru-baru ini.

“Pada awalnya kami menaiki bas, keretapi dan ‘hitch-hike’ dari Malaysia ke China. Apabila kami tiba di Beijing, kami membuat keputusan untuk membeli basikal yang boleh dilipat dan dibawa ke Eropah menerusi Mongolia dan Russia.

“Ini memang kami tak rancang dan keputusan dibuat secara tiba-tiba sahaja,” tambahnya.

Menurut Nicholas Chin, basikal Dahon yang boleh dilipat itu berharga RM1,800 dan memang tahan lasak untuk mereka membuat penjelajahan antara benua.

Cuma apabila mereka tiba di United Kingdom, tayar satu daripada sebuah basikal pancit.

Pengembaraan bajet murah dua graduan media Universiti Taylor, Malaysia ini bermula pada pertengahan 2014 dan mengambil masa sembilan bulan.

Bermula dari Kuala Lumpur hingga ke United Kingdom melalui Asia Tenggara, China, Rusia, Eropah Utara dan Eropah Tengah/Barat.

“Kami mengembara secara santai sahaja, tidak tergesa-gesa kerana matlamat kami mahu beramah mesra dengan orang yang kami jumpa di sepanjang perjalanan kami.

“Biasanya kami akan tinggal beberapa hari di setiap bandar sebelum meneruskan perjalanan dan mengayuh basikal sekurang-kurang 50km sehari,” kata Lau.

Tempat tinggal Lau dan Nicholas Chin kebanyakannya dicari secara ‘couchsurfing’, iaitu aplikasi online yang membolehkan ahli menginap sebagai tetamu di rumah orang di merata tempat di dunia tanpa sebarang pertukaran wang kecuali untuk makanan dan perbelanjaan lain.

Kos mengembara ini dibiayai menerusi persembahan jalanan yang dilakukan Lau and Nicholas Chin di bandar utama sepanjang pengembaraan mereka.

Lau atau lebih dikenali sebagai AbeatC adalah seorang ‘beat boxer’ yang berbakat.

’Beat boxer’ adalah seni menghasilkan paluan, irama dan bunyi dram menggunakan bibir, tekak, lidah dan hidung.

Beliau juga merupakan pengasas BeatNation, sebuah projek yang berusaha mempromosikan kemampuan ‘beat boxing’ Malaysia.

“Saya sudah ‘beat boxed’ di banyak tempat termasuk Paris, Berlin, Amsterdam, London dan Bristol. Memang rasa seronok kerana ada orang yang menghargai seni ini.

“Hasil daripada persembahan saya digunakan untuk membiayai pengembaraan kami kerana kami mahu mengembara ke sebanyak negara yang mungkin untuk memperkenalkan Malaysia kepada dunia.

“Ini bukannya mudah kerana saya perlu melakukan yang terbaik. Ia juga akan menentukan sejauh mana kami boleh mengembara memandangkan ini sumber pendapatan kami,” katanya.

Sepanjang perjalanan itu, Lau berjumpa dengan beberapa ‘beat boxer’ dari seluruh pelusuk dunia.

Beliau juga menyertai pertandingan ‘beat boxing’ seperti LA Cup Beat Box Championship di Paris dan Welsh Beat Box Championship di Cardiff.

Bagi setiap sesi ‘beat boxing’nya, Nicholas Chin akan menyediakan ‘pentas’ dengan meletakkan bendera Malaysia antara dua basikal dan memperkenalkan diri mereka kepada orang ramai yang berkumpul untuk melihat persembahan itu.

Beliau akan berkata, “kami dua orang rakyat Malaysia yang menjelajah dunia dengan berbasikal dan ‘hitch-hike’ dari Malaysia.”

“Biasalah, ada yang menjeling ke arah kami kerana mereka tahu berapa jauhnya kami telah mengembara. Ada yang menganggap kami tidak siuman tetapi setelah berkongsi pengalaman kami, ramai yang teruja mahu buat seperti kami,” kata Nicholas Chin.

Pengalaman paling mencabar bagi Lau dan Nicholas Chin adalah sewaktu memasuki Eropah ketika musim sejuk di mana mereka terpaksa mengayuh basikal dalam keadaan suhu beku.

“Antara pengalaman yang tak dapat kami lupakan adalah ketika kami berbasikal dari Irkutsk di Rusia ke Moscow. Perjalanan ini sejauh 4,200 km di mana kami terpaksa mengayuh basikal dalam ribut salji di lebuh raya kerana tidak ada laluan basikal.

“Secara jujurnya, kami hampir-hampir berputus asa tetapi nasib menyebelahi kami apabila ada pasangan yang berhenti dan memberi kami tumpang kenderaan mereka.

“Bukan itu sahaja. Mereka mengajak kami bermalam di rumah mereka dan jamu kami makan malam dan buatkan juga sarapan! Ketika itu kami dapat rasakan betapa kebaikan itu ada pada setiap orang, tak kira siapa,” tambahnya.

Nicholas Chin dan Lau menamatkan peringkat pertama pengembaraan mereka dan seperti dijanjikan dengan kelurga mereka terbang ke Kuala Lumpur pada 15 Februari untuk meraikan Tahun Baru Cina dengan keluarga masing-masing di Damansara Perdana dan Kepong.

Bagaimanapun, Lau dan Nicholas kini berada di Rom, Itali selepas berbasikal dan ‘hitching’ dari London hingga Paris dan Switzerland di babak kedua pengembaraan mereka.

“Kami bercadang untuk menjelajah negara-negara Eropah Timur sebelum memasuki Turki dan baru kemudian kami akan menentukan laluan ke Asia Barat dan Afrika,” akat Nicholas apabila dihubungi Bernama baru-baru ini.

“Kami perlu rancang sebaik mungkin laluan kami dengan mengambil kira apa yang berlaku seperti epidemik Ebola dan kekacauan di beberapa buah negara Asia Barat,” kata Lau.

Lau dan Nicholas Chin juga menghasilkan video musik beat box yang disiarkan di saluran YouTube YouTube.com/abeatcbeatbox setiap Isnin.

Video itu turut memaparkan lanskap tempat-tempat berbeza yang mereka lalui di samping persembahan bersama bakat beat box dari serata dunia. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 April 2015 @ 4:45 PM