Hafiz Ithnin


“Saya disoal seperti orang salah ketika itu dan barang keperluan sepanjang pengembaraan juga diperiksa satu persatu,” katanya ketika ditanya berkenaan pengalaman yang tidak dapat dilupakan sepanjang menjadi pengembara berbasikal.

Pemilik nama Mohd Rizuwan Shahboddin, 33, tidak lokek menceritakan pengalamannya ketika mengembara secara berbasikal ke bumi Afghanistan pada 2013.

Situasi yang dialami itulah yang menjadi tarikan utama ketika penulis menemu bual anak kelahiran Selangor ini.

Mengimbas situasi mencemaskan ketika ditahan selama sehari di Kabul, Mohd Rizuwan diminta membaca ayat suci al-Quran bagi membuktikan dia seorang Muslim dan datang ke negara itu hanya untuk mengembara.

Usai sesi ‘soal jawab’ dan kemudian dilepaskan, rasa lega sukar digambarkan dengan kata-kata, apatah lagi pihak tentera yang menahannya melemparkan senyuman tanda persahabatan.

Itu antara kisah Mohd Ridzuan atau mesra disapa Cik Wan yang sudah mengembara secara berbasikal ke 64 negara dengan jarak perjalanan sejauh 50,000 kilometer sejak 2006.

Pemilik kedai basikal kembara Pedalasia itu juga mengakui daripada 64 negara yang sudah dijelajah itu, Afghanistan paling cantik dan unik meskipun berdepan risiko keselamatan diri.

Mohd Rizuwan berkata, dalam keseronokan menjadi seorang pengembara berbasikal, dia juga pernah melalui pengalaman sedih pada 2016 ketika berbasikal dari Subang Jaya, Selangor ke Mongolia.

Katanya selepas, lima bulan berkayuh dari Malaysia dan tiba di Mongolia, dia mendapat khabar bapanya dalam keadaan koma dan tenat. Bermakna dia perlu menamatkan pengembaraan yang sepatutnya berakhir di United Kingdom.

MOHD RIZUWAN sangat dikenali dalam kalangan komuniti pengembara berbasikal tempatan.
MOHD RIZUWAN sangat dikenali dalam kalangan komuniti pengembara berbasikal tempatan.

“Ayah saya ketika itu sudah koma dan bergantung hidup pada mesin saja. Saya dimaklumkan keluarga, ayah dalam keadaan tenat dan perlu pulang segera ke Malaysia.

“Nasib menyebelahi saya kerana selepas seminggu saya pulang ke Malaysia, ayah meninggal dunia. Itulah antara kisah suka dan duka menjadi seorang pengembara berbasikal,” katanya yang juga aktif dalam komuniti pengembara berbasikal dunia.

Disebabkan minat yang mendalam itu, dia membuka kedai basikal khusus untuk basikal kembara dan turut menyediakan tempat tinggal untuk pengembara asing sekiranya mereka datang ke Malaysia.

Katanya, sebagai pengembara dia cukup faham dengan keperluan dan cabaran pengembara berbasikal serta dengan kemudahan bermalam di kedai basikalnya, golongan itu boleh memanfaatkannya.

“Di kedai saya terdapat satu ruang khas yang sengaja diperuntukkan untuk kegunaan pengembara basikal bermalam secara percuma. Di sini, selain dapat bermalam, mereka juga boleh membaiki basikal dengan caj berpatutan.

“Selain itu, saya juga membantu mereka dengan membekalkan maklumat laluan berbasikal yang menarik untuk diterokai di negara ini,” katanya yang juga mempunyai jenama basikal sendiri.

Mohd Rizuwan juga melihat aktiviti kembara berbasikal sebenarnya mampu menjadi ejen untuk mempromosikan produk pelancongan negara kepada pengembara asing.

Ini kerana kini komuniti berkenaan mula melihat Malaysia sebagai satu lokasi yang menarik untuk berbasikal.

“Tidak ketinggalan, saya juga sentiasa menggalakkan komuniti pengembara basikal tempatan untuk mengembara ke luar negara dan membantu mereka dari segi penyediaan maklumat laluan yang diperlukan.

“Maksudnya, kedai kami bukan berkonsepkan perniagaan semata-mata tapi ingin mengembangkan aktiviti mengembara menggunakan basikal kerana ia sangat unik dan mampu memberi pengalaman menarik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 January 2018 @ 1:42 PM