MERAKAM memori ketika berada di Pakistan. FOTO Ahmad Mohd Isa
MERAKAM memori ketika berada di Pakistan. FOTO Ahmad Mohd Isa
Hafiz Ithnin

Antara ciri wanita yang dicari-cari untuk dijadikan calon isteri biasanya perlu beriman dan bijak tanpa mengetepikan soal rupa parasnya. Bagaimanapun, bagi lelaki ini, ciri utama yang turut dicari adalah mesti boleh mengembara bersamanya.

Mengembara bukan sekadar menaiki kenderaan biasa tetapi mengelilingi dunia menggunakan basikal sebagai pengangkutan utama. Ternyata, ciri wanita idamannya dimakbulkan pada Disember 2014, pemilik nama Ahmad Mohd Isa disatukan dengan Noradilah Mohd Sapie.

Merentasi 14 negara bermula dari Malaysia pada April 2016 dan berakhir Julai 2017, memberikan pengalaman manis kepada Ahmad dan Noradilah kerana pengembaraan itu yang dinamakan sebagai Kembara Memburu Hikmah tersimpan 1,001 kisah manis dan pahit bagi mereka yang ketika itu baru dua tahun mendirikan mahligai perkahwinan.

Ahmad berkata, dia aktif mengembara secara solo sejak mula bekerja dan pernah meminta izin daripada keluarga untuk berkelana ke seluruh dunia seorang diri. Namun, tidak mendapat restu keluarga.

Katanya, dalam diam dia terus mengembara meskipun pada awalnya tidak mendapat restu dan akhirnya diketahui keluarga yang meletakkan syarat sekiranya ingin terus mengembara ke seluruh dunia, dia perlu berkahwin.

MELALUI taman negara tertinggi di dunia, Doesai di Pakistan menjadi kenangan tidak dilupakan. FOTO Ahmad Mohd Isa
MELALUI taman negara tertinggi di dunia, Doesai di Pakistan menjadi kenangan tidak dilupakan. FOTO Ahmad Mohd Isa

“Umi yang mencarikan pasangan untuk saya dan ketika berkenalan dengan Noradilah, dia memberitahu dia juga mempunyai impian untuk mengembara ke seluruh dunia. Akhirnya pada 2014 kami diijabkabulkan sebagai pasangan suami isteri.

“Pada 2015, kami mula aktif berlatih mengembara secara berbasikal ke seluruh Malaysia sebelum memulakan misi menjelajah dunia pada 2017 yang menyasarkan Arab Saudi sebagai destinasi terakhir untuk mengerjakan umrah,” katanya.

Ahmad berkata, dalam tempoh setahun mereka berlatih mengembara, terlalu banyak cabaran yang perlu dihadapi terutama untuk mendapatkan keserasian.

BAWA pelbagai keperluan ketika kembara berbasikal antara cabaran dihadapi Noradilah. FOTO Ahmad Mohd Isa
BAWA pelbagai keperluan ketika kembara berbasikal antara cabaran dihadapi Noradilah. FOTO Ahmad Mohd Isa

“Sebelum ini, saya hanya mengembara seorang diri. Apabila ada isteri, persediaan perlu lebih menyeluruh dan perkara ini menjadikan saya dan isteri belajar erti kesabaran dan menghormati antara satu sama lain.

“Sememangnya sebelum ini, saya mempunyai sikap panas baran dan dengan adanya isteri ketika mengembara, saya banyak belajar untuk mengawal emosi dan perlakuan yang lebih baik,” katanya.

Pada April 2016, Ahmad dan Noradilah berlepas dari Masjid Negara, Kuala Lumpur mengembara menggunakan basikal menuju ke Arab Saudi. Merentasi 14 negara antaranya Thailand, Myanmar, Nepal, Pakistan, China, Kyrgyzstan, Iran dan Afghanistan.

PANORAMA menarik dapat dinikmati sepanjang pengembaraan. FOTO Ahmad Mohd Isa
PANORAMA menarik dapat dinikmati sepanjang pengembaraan. FOTO Ahmad Mohd Isa

Katanya, terlalu banyak pengalaman menarik dalam pengembaraan itu yang ceritanya hanya mereka berdua dapat rasakan dan nikmati. Jika ditanya mengenai kecantikan, semua ada daya tarikan tersendiri dan mereka juga menerbitkan buku untuk berkongsi dengan orang ramai mengenai pengembaraan itu.

“Walaupun pengembaraan sudah berakhir, ia bukan menjadi titik noktah kepada kami untuk mengembara. Jika ada kelapangan masa, kami pasti menjelajah di dalam negara.

“Aktiviti mengembara berbasikal bersama isteri sememangnya memberi banyak kesan, baik kepada kami berdua terutama lebih memahami antara satu sama lain. Boleh dikatakan cara kami berbulan madu adalah dengan mengembara menggunakan basikal,” katanya.

AHMAD dan Noradilah akhirnya tiba di Madinah. FOTO Ahmad Mohd Isa
AHMAD dan Noradilah akhirnya tiba di Madinah. FOTO Ahmad Mohd Isa

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2019 @ 6:00 AM