Pasir Gudang: Persembahan memberangsangkan pemain import Chidi Edeh yang membawa kemenangan kepada Kedah mengatasi Johor Darul Ta’zim II (Johor DT II) 2-1 pada aksi Liga Perdana, kelmarin, bakal dikekalkan.

Pengendali Kedah Tan Cheng Hoe berkata, kelibat Edeh kemungkinan besar dikekalkan bagi mengharungi baki saingan liga tatkala skuad Helang Merah sudah membawa masuk dua import baru Liridon Krasniqi dan Sandro Mendonca.

“Agak sukar membuat pertukaran dan Edeh semakin menunjukkan kemampuan sebagai penyerang. Malah dua gol kemenangan kami hasil daripada sentuhannya. Dia menjaringkan gol pertama dan menerusi bola rembatannya membuka ruang kepada Farhan Roslan menyumbat gol kemenangan.

“Kemungkinan besar Chidi dikekalkan dan sebagai jurulatih selepas setiap hari melihat dia berlatih tidak mustahil pemain itu akan menjadi penyerang utama Kedah tapi kami perlu beri masa kepadanya.

Cheng Hoe juga puas hati dengan kelibat dua pemain import baru Helang Merah, Krasniqi dan Mendonca yang membuat penampilan pertama pada aksi menentang Johor DT II.

Katanya, kelibat Krasniqi dan Mendonca penting di posisi tengah apabila mereka bijak menguasai bahagian itu dengan kedua-dua pemain itu mampu meningkatkan lagi corak permainan pasukan.

“Mereka berjaya mendominasi bahagian tengah dan saya puas hati namun masih ada ruang untuk kedua-duanya membentuk persefahaman mantap dengan pemain lain,” kata Cheng Hoe.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2015 @ 9:03 AM