Oleh Bashah Zainol Abidin

Alor Setar: Ketua jurulatih Kedah Tan Cheng Hoe terpaksa mengetepikan khidmat dua tonggak utamanya berdepan NS Matrix pada aksi Liga Perdana di Paroi malam ini gara-gara tiga kad kuning yang diterima kapten Khyrul Helmi Johri dan Syazwan Tajuddin.

Menurutnya, kehilangan mereka amat dirasai tetapi ia tidak bermakna prestasi pasukan akan pincang.

“Ketiadaan Khyrul dan Syazwan memang dirasai namun saya tidak mempunyai masalah mendapatkan pengganti mereka dalam meneruskan rentak kemenangan.

“Malah semua pemain mengetahui apa yang mereka perlu lakukan di Paroi kerana lawan juga pasti mahukan kemenangan yang bakal membuka peluang mereka mencari satu slot play off layak ke Piala Malaysia musim ini,” katanya.

Menurut Cheng Hoe, dia yakin dengan kemampuan pemain mengatasi tuan rumah kerana prestasi memuncak mereka sepanjang tiga perlawanan lalu.

“Kemampuan menguasai persada liga dengan kelebihan empat mata meninggalkan T Team adalah bukti kesungguhan pemain mahu menjuarai liga dan elayakkan diri ke Liga Super musim depan.

“Saya yakin kemampuan pemain saya untuk terus mengekalkan status pendahulu dan kehadiran empat pemain import pasti memantapkan lagi permainan kita.

“Pangalaman Bang Seung Hwan mengendalikan pertahanan, kepintaran Liridon Krasniqi menguasai bahagian tengah berganding dengan Sandro Da Silva yang turut membantu penyerang Nigeria, Chidi Edeh merobek gawang lawan,” katanya.

Walaupun beraksi di Paroi pasukannya tetap akan mendapat sokongan penyokong Helang Merah sekitar Lembah Kelang dan Serembah bagi membakar semangat pemain memburu kemenangan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2015 @ 9:30 AM