PEMAIN  JDT II Zaquan Adha Abd Razak (kiri) berebut bola dengan pemain Kedah Muhd Syazwan Tajudin (dua  dari kanan).
PEMAIN JDT II Zaquan Adha Abd Razak (kiri) berebut bola dengan pemain Kedah Muhd Syazwan Tajudin (dua dari kanan).
Oleh Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Kedah terpaksa bermandi peluh sebelum melangkah ke suku akhir Piala Malaysia selepas menewaskan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) 4-2 pada aksi terakhir saingan Kumpulan A di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), malam tadi.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe yang turun dengan kesebelasan terbaik tampak begitu ghairah memburu gol awal malah pada minit pertama Sandro Da Silva hampir membuka tirai jaringan tetapi bola sempat ditepis penjaga gol, Afiff Aizad Azman.

Kubu tuan rumah terus diancam dengan percubaan berbahaya pelawat dan pada minit ke-15 Sandro hampir mencipta gol menerusi sepakan percuma dari jarak 30 meter namun sempat ditepis keluar Afiff.

Asakan bertali arus pelawat yang mengidam kemenangan di tempat lawan nyata membuahkan hasil pada minit ke-17 selepas bola tolakan Liridon Krasniqi membuka ruang buat Chidi Edeh yang bijak melepasi perangkap ofsaid sebelum mudah menewaskan Afiff.

Namun jaringan itu tidak bertahan lama selepas tuan rumah bangkit menyamakan jaringan pada minit ke-25 apabila sepakan percuma Nicolas Delmonte tepat ke penjuru kanan pintu gol hingga sukar buat penjaga gol, Mohdmad Firdaus Muhamad menyelamatkan bola.

Selang dua minit kemudian, tuan rumah mengejutkan pelawat apabila menghasilkan gol kedua selepas Mohd Akram Mahinan bijak melencongkan bola tepat menerjah jaring menewaskan Firdaus.

Namun pada minit ke-42 hampir tercetus pergaduhan selepas Zaquan Adha Radzak dikasari Shafizan Hashim yang menyebabkan pengadil Wan Muhammad Tarmizi Wan Ibrahim bertindak pantas meredakan keadaan.

Bola rembatan deras Baddrol Bakhtiar pada minit ke-52 mencemaskan kubu skuad Merah Biru namun Afiff sudah bersedia menepis bola bagi mengelak pintu gol dibolosi.

Pelawat bangkit mencipta gol penyamaan pada minit ke-62 selepas bola hantaran Baddrol tepat kepada Syazwan Zainon yang merembat bola namun pada awalnya terkena palang sebelum dia sekali lagi bertindak pantas untuk menyudahkan bola yang terbias.

Tanpa berlengah anak didik Cheng Hoe menutup sisa perjuangan tuan rumah apabila mencipta gol pada minit ke-69 menerusi bola rembatan deras pemain gantian Muhammad Syafiq Ahmad sebelum Krisniqi memastikan kemenangan buat skuad Helang Merah pada minit ke-75.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 November 2015 @ 9:17 AM