KUANTAN: Sebanyak 38 buah rumah di Lurah Bilut dekat Bentong dilanda banjir kilat awal pagi ini berikutan hujan lebat lewat malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Bentong DSP Wan Azharudin Wan Ismail berkata, kejadian kira-kira 2.30 pagi itu turut mengakibatkan 18 buah kenderaan termasuk tiga buah kenderaan milik Jabatan Kesihatan mengalami kerosakan.

Katanya, kawasan terlibat banjir kilat itu ialah kuarters guru Lurah Bilut, kawasan Klinik Kesihatan Lurah Bilut, kawasan Kampung Baru dan kawasan Sungai Penjuring.

"Di kuarters guru sahaja sebanyak 20 buah rumah terlibat, 11 daripadanya berpenghuni manakala selebihnya tidak diduduki sementara di Klinik Kesihatan Lurah Bilut pula dua rumah kakitangan turut dinaiki air sedalam hampir satu meter," katanya di sini, hari ini.

Katanya di kawasan Kampung Baru sebanyak sembilan buah rumah terlibat, manakala di Sungai Penjuring, tujuh buah rumah dinaiki air.

Bagaimanapun katanya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan tiada mangsa dipindahkan dalam kejadian itu.

Air mulai surut kira-kira 4.15 pagi tadi dan kerja pembersihan sedang dijalankan. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Oktober 2014 @ 4:40 PM