Wan Rosdy Wan Ismail. FOTO NSTP
Wan Rosdy Wan Ismail. FOTO NSTP
BERNAMA

Kuantan: Kebun durian Musang King dikenal pasti sebagai antara faktor yang menyebabkan gangguan bekalan air dalam kawasan Bilut di Bentong, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata, loji rawatan air (LRA) di situ terpaksa menghentikan operasi apabila kekeruhan air mentah di Sungai Bilut tinggi selepas hujan lebat yang akhirnya mengakibatkan penduduk sekitar mengalami gangguan bekalan air.

"Saya rasa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bilut mesti tahu air tidak akan keruh semulajadi... mesti ada penyebabnya dan di Bilut, kebun Musang King sedikit sebanyak menjejaskan air di kawasan itu," katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Wan Rosdy berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Lee Chin Chen (PH-Bilut) yang ingin tahu tindakan diambil bagi mengatasi masalah ganggguan bekalan air di Bilut yang berlaku selepas hujan lebat akibat kekeruhan air sungai.

Antara penyelesaian yang dilakukan, menurut Wan Rosdy ialah penambahbaikan LRA Sungai Bilut yang antara lain membabitkan kerja pembinaan tangki pra-enapan yang dijangka siap tahun depan.

Sementara itu, menjawab soalan Razali Kassim (BN-Muadzam Shah) mengenai jumlah pelaburan yang dibawa masuk antara Mac 2020 hingga September lalu, Wan Rosdy berkata jumlah pelaburan yang diluluskan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berjumlah RM6.751 juta untuk 2020.

Daripada jumlah itu, RM4.319 bilion ialah pelaburan langsung asing manakala untuk tahun ini, setakat Jun lepas jumlah pelaburan tempatan ialah RM441 juta dan RM508 juta bagi pelaburan asing, dengan kedua-duanya bakal menambah peluang pekerjaan di Pahang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 12:09 PM