LELAKI dikenali sebagai Yuan.
LELAKI dikenali sebagai Yuan.

Beijing: Tembelang Romeo yang berpacaran dengan sekurang-kurangnya 17 ‘Juliet’ pada waktu yang sama - malah turut mempunyai seorang anak dengan seorang daripada mereka - pecah apabila semua kekasihnya hadir ke hospital serentak selepas dia kemalangan.

Yuan yang berasal dari Changsha di wilayah Hunan dibawa ke hospital baru-baru ini akibat kemalangan dengan kecederaan yang tidak serius.

Semua teman wanita - malah juga kakitangan hospital - terkejut apabila mendapat tahu mereka rata-rata berpacaran dengan lelaki sama.

Seorang teman wanitanya Xiao Li berkata menjalin hubungan selama satu tahun setengah dengan Yuan.

“Selepas mendapat berita dia kemalangan saya tidak berhenti menangis kerana terlalu risau.

“Bagaimanapun, apabila saya melihat semakin ramai gadis jelita muncul di hospital, air mata saya terus kering,” katanya.

Menurutnya, dia menubuhkan kumpulan sembang atas talian bagi semua 17 teman wanita Yuan itu dan mendapat tahu ada antara mereka turut menjadi ‘sumber pendapatannya’ setiap bulan.

Malah, seorang wanita mengaku membantu Yuan dari segi kewangan selama sembilan tahun.

Wang Fang yang juga mempunyai anak hasil hubungan dengan Yuan berkata, walaupun tidak lagi mencintai Yuan kasihnya terhadap anak mereka tidak luntur.

Seorang lagi mangsa Xiao Ting berkata Yuan jodohnya dan sudah mula merancang perkahwinan mereka.

Lebih daripada 6,000 komen diposkan di media sosial yang melahirkan kekaguman terhadap Yuan sementara tidak kurang juga yang mengkrititk wanita terbabit kerana sepatutnya lebih bijak menghidu penipuannya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2015 @ 5:18 AM