Kuala Lumpur: Allahyarham Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis seorang yang suka berjenaka dan tidak lokek berkongsi idea mengenai percaturan politik, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ir Dr Wee Ka Siong.

Beliau menganggap Jamaluddin ibarat abang yang sentiasa memberikan tunjuk ajar kepada adiknya.

“Saya kali pertama mengenalinya dengan rapat apabila beliau menjadi Menteri Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

“Dari situ saya mengamati JJ (Jamaluddin Jarjis) sebagai seorang teknokrat yang berpengetahuan luas.

“Sejak saya jadi Anggota Parlimen, dari semasa ke semasa beliau memberi nasihat bagaimana untuk menjadi MP yang kritikal tetapi konstruktif,” katanya menerusi laman Facebook beliau.

Jamaluddin yang juga Anggota Parlimen Rompin, Pahang dan Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) serta Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Datuk Azlin Alias antara penumpang helikopter yang terhempas di Semenyih petang semalam.

Wee berkata, pemergian Jamaluddin adalah satu kehilangan besar dalam dunia politik dan korporat.

Katanya, kali terakhir beliau bertemu Jamaluddin adalah ketika duduk bersebelahan dengan Jamaluddin pada majlis akad nikah anak perempuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Sri Perdana, 19 Mac lalu.

“Saya berasa amat terkejut dan sedih sebaik menerima berita Tan Sri Jamaluddin Jarjis terkorban dalam nahas helikopter di Semenyih.

“Kali terakhir saya berbual dengannya di telefon ialah pada 29 Mac lalu ketika saya menghadiri Persidangan Kesatuan Antara Parlimen (IPU) di Hanoi.

“Beliau (Jamaluddin) juga mengatakan mahu berjumpa minggu depan untuk membincangkan beberapa perkara yang mendesak berhubung projek PRIMA,” katanya sambil menambah sejak setahun ini mereka berdua sering berbincang mengenai projek PR1MA di Johor khususnya di kawasan Parlimen Ayer Hitam.

“Semasa Rang Undang-Undang PR1MA dibentangkan kami berbincang kandungan serta implikasi. JJ sedia mendengar dan meminda mana-mana yang munasabah,” katanya.

Wee juga mengucapkan takziah kepada anggota keluarga Jamaluddin dan Azlin dan berharap keluarga mereka tabah menghadapi ujian.

Berkongsi pendapat yang sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri menyifatkan Jamaluddin, seorang yang ceria dan menghiburkan semasa persidangan Parlimen, apabila beliau mula berbahas.

“Saya teringat dua minggu lalu. Tan Sri Jamaluddin Jarjis bersama-sama anggota Parlimen lain sedang makan tengah hari di Parlimen. Kami makan sajian dari Terengganu, nasi dagang.

“Beliau (Jamaluddin) tanya saya bila saya boleh membawa juadah Sarawak. Laksa Sarawak sedap...katanya. Saya telah membawa 150 mangkuk laksa Sarawak untuk rakan-rakan di Parlimen.

“Itu kali terakhir saya bercakap dengan Tan Sri JJ,” kata Nancy menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

Nancy berkata beliau amat sedih dengan kehilangan dua individu yang amat beliau kenali menerusi tugasnya.

“Datuk Azlin terkenal dengan perwatakan serius tetapi individu yang mudah didekati. Selain itu, kami dari Jabatan Perdana Menteri sudah pasti akan merindui kedua-dua mereka semasa mesyuarat pasca Kabinet kami,” katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 April 2015 @ 4:48 PM