Hayati Ibrahim dan Suraya Roslan


MAJLIS pemeteraian tiga perjanjian mengenai projek Rapid Transit System Link (RTS Link) antara Malaysia dan Singapura dijadualkan berlangsung pada 30 Julai ini bertempat di Tambak Johor, Johor Bahru.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong berkata, mengikut kesepakatan dicapai pada akhir April lalu, Malaysia dan Singapura bersetuju melanjutkan rundingan perjanjian berkaitan RTS Link antara Johor Bahru dan Singapura sehingga 31 Julai ini dengan kos keseluruhan projek ditetapkan RM3.7 bilion.

"Sukacita dimaklumkan dalam Dewan yang mulia ini, Perjanjian Bilateral, Perjanjian Konsesi dan Perjanjian Usahasama JV OpCo serta perbincangan dua hala berkaitan pembangunan projek RTS Link baru saja dimuktamadkan antara kerajaan Malaysia dan Singapura.

"Majlis pemeteraian tiga perjanjian antara dua negara ini pada 30 Julai ini serta akan disaksikan Perdana Menteri Malaysia dan Singapura," katanya dalam persidangan Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, hari ini.

Ahli Parlimen Ayer Hitam itu menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang mahu status terkini rundingan antara Malaysia dan Singapura berkaitan pembangunan RTS Link.

Wee berkata, pembinaan RTS Link fasa satu dijangka bermula pada Januari 2021 selama empat tahun membabitkan pembangunan dan struktur sivil.

"Selain itu, pada 2025 hingga 2026 fasa pembinaan sistem telekomunikasi, pentauliahan dan pengujian sistem akan dijalankan dan dijangka RTS Link dapat beroperasi sepenuhnya pada penghujung 2026," katanya.

Wee menegaskan, kos keseluruhan pembinaan RTS Link berjumlah RM3.7 bilion iaitu sedikit tinggi berbanding rundingan dilakukan bekas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berjumlah RM3.16 bilion.

"Pada masa itu (memang) RM3.16 bilion, tetapi apabila kita pindah depoh dari Mandai, Singapura ke Stesen Wadihana, Johor Bahru yang juga kawasan YB (Yang Berhormat Akmal), kita perlu sediakan satu depoh dan perbelanjaan pengambilan tanah swasta dengan jumlah RM500 juta.

"Mengenai tambang kedua-dua negara kita telah berunding dan akan ditetapkan kemudian, kita sedar banyak perkara perlu diperhatikan seperti aliran trafik cukup atau tidak bagi menampung 10,000 penumpang untuk satu arah dalam tempoh sejam ketika waktu kemuncak.

"Bagi mereka yang perlu berulang alik setiap hari, kita akan menetapkan satu tambang dipersetujui dua negara mengikut mata wang asing negara masing-masing, jika di Malaysia dalam Ringgit Malaysia dan Singapura pula Singapura Dollar," katanya.

Wee turut memberi jaminan, peluang pekerjaan kepada warga tempatan akan diutamakan dengan pembinaan projek tren itu.

"Saya beri jaminan kepada Dewan, apabila kita tukar depoh ke Wadihana secara logik beri peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan," katanya.

Wee Ka Siong.
Wee Ka Siong.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Julai 2020 @ 5:04 PM
KUALA LUMPUR 15 JULAI 2020. Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong bercakap ketika sidang media di bangunan Parlimen. NSTP/ASYRAF HAMZAH
KUALA LUMPUR 15 JULAI 2020. Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong bercakap ketika sidang media di bangunan Parlimen. NSTP/ASYRAF HAMZAH