Kawan Cik Pang baru-baru ini sempat ke lokasi penggambaran drama terbaru arahan Michael Ang, Hidup. Drama yang bakal disiarkan di Astro Ria itu menampilkan kekasih hati Zizan Razak, Emma Maembong sebagai teraju utama.

Kawan Cik Pang terkejut dengan sikap Emma yang dilihatnya langung tidak 'diva'. Mana tidaknya, sebelum ini selalunya pelakon utama akan duduk di tempat disediakan dan tidak akan bercampur dengan pelakon tambahan.

Namun tidak Emma apabila sebelum penggambaran dimulakan, dia berbual-bual dengan pelakon tambahan yang ada. Tambah pula ada beberapa pelakon baru turut menjayakan drama itu, menyebabkan penggambaran kurang lancar.

Kena pula pengarahnya memang tegas, kalau tiga kali ulang sebab pelakon buat macam tak ada perasaan, memang suaranya akan melaung.

Melihatkan situasi itu, Emma cuba membantu pelakon pembantu dan orang baru bagaimana mereka dapat berlakon dengan baik.

Kata kawan Cik Pang, kali pertama bekerja dengan Emma dan melihat pelakon jelita itu bersikap demikian membuatkan dia terkejut.

Dalam hati, dia memuji Emma pandai sebab nak kerja habis cepat, dia ajar pelakon baru berlakon. Waktu sama dia turut terfikir adakah Emma sengaja mahu tunjuk pandai.

Apabila ditanya Emma, dia ada penjelasannya. Katanya, dia tahu bagaimana perasaan pelakon baru apabila pengarah naik suara. Mereka beraksi dalam situasi tertekan, menyebabkan keadaan tambah buruk.

Kata Emma, kalau dia tidak bersikap begitu dengan orang baru, bagaimana mereka dapat bekerja dengan baik. Malah, Emma akui pernah merasai situasi seperti mana pelakon baru itu lalui apabila Michael mula naik suara di lokasi.

Pada Cik Pang, sikap yang ada pada Emma sebenarnya ada juga pada pelakon lama dan berpengalaman, tetapi kadangkala pelakon baru tidak pandai beli jiwa dan ambil ilmu daripada mereka. Tidak semua orang murah hati seperti Emma yang mahu berkongsi ilmu secara percuma.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Oktober 2014 @ 5:01 AM