Cik Pang

Ingatkan, lepas Cik Pang ‘basuh’ pelakon baru yang sedang popular ketika ini, Hafidz Roshdi, dia akan lebih bertanggungjawab. Malangnya, makin parah pula sikapnya tidak tepati masa.

Kalau sebelum ini Hafidz tiba lewat untuk sesi fotografi dengan rakan media, kali ini dia lakukan perkara sama. Kali ini membabitkan satu acara untuk drama dibintangi, Tundukkan Playboy Itu baru-baru ini.

Undangan ke acara membabitkan media dan peminat itu bermula jam 6 petang tetapi hingga jam 8 malam, batang hidungnya tidak kelihatan membuatkan teman Cik Pang yang ditugaskan membuat liputan ‘bengang gila’.

Kata teman Cik Pang, Hafidz memberi banyak alasan. Mula-mula, katanya, dalam perjalanan tetapi apabila dihubungi lagi kerana masih belum tiba, katanya, dia ada di lebuh raya sekian-sekian hingga menimbulkan tanda tanya.

Apabila sampai, sebutir permohonan maaf pun langsung tidak terpacul daripada mulutnya. Kata teman Cik Pang, walaupun namanya hangat di pasaran dan sering menjadi rebutan stesen televisyen dan produser drama, sikapnya tidak selari dengan populariti yang diraih.

Cik Pang tertanya-tanya juga, kenapa perlu beri muka kepada pelakon yang langsung tidak hargai masa? Kita ada ramai lagi ‘hero’ baru yang lebih berdisiplin dan boleh diangkat sebagai pelakon contoh.

Disiplin Hafidz tidak saja didakwa dengan masalah masa, malah Cik Pang difahamkan, ketika penggambaran, dia juga sering buang masa pelakon lain untuk melakonkan babak masing-masing.

Pernah beberapa pelakon bising dengan perangainya yang dikatakan tidak fokus pada lakonan hinggakan babak yang sangat mudah dibuat pun terpaksa dilakukan lebih 20 kali!

Cik Pang rasa, kalau diteruskan sikap begini, rasanya jangka hayatnya sebagai pelakon memang tidak lama.

Bak kata seorang pelakon yang Cik Pang hormati, biar muka ‘tak elok’ tapi jaga amanah masa dan kualiti lakonan, berbanding dikurniakan wajah kacak dan cantik bak bidadari tapi disiplin ke laut!

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 April 2016 @ 5:02 AM