Hakim Lee Swee Seng membuat keputusan itu selepas memutuskan bahawa Ramkarpal Singh Deo (DAP) adalah pemenang PRK berkenaan.

Sehubungan itu, beliau memerintahkan Abu Backer Sidek membayar kos RM10,000 kepada Ramkarpal selaku responden pertama dan RM10,000 lagi kepada responden kedua iaitu pegawai pilihan raya PRK Bukit Gelugor serta responden ketiga Suruhanjaya Pilihan Raya.

Dalam penghakimannya, Lee berkata, tidak ada butiran yang cukup untuk menyokong dakwaan pempetisyen.

“Saya tidak teragak-agak menolak petisyen ini kerana pempetisyen tidak mengemukakan bukti secukupnya bagi menyokong dakwaan bahawa keputusan PRK itu terjejas,” katanya.

Abu Backer Sidek, yang juga seorang peguam, memfailkan petisyen itu pada 18 Jun tahun lalu, memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa keputusan PRK berkenaan sebagai batal dan tidak sah.

Dalam maklum balas sejurus selepas itu, Abu Backer Sidek berkata, beliau akan mempertimbang untuk memfailkan rayuan selepas memperoleh butiran sewajarnya berhubung keputusan mahkamah.

“Saya berterima kasih kepada mahkamah yang meluangkan masa menilai petisyan saya dan saya akan memerlukan lebih banyak masa untuk menganalisis butiran terbabit sebelum mengambil tindakan selanjutnya,” katanya.

Pada PRK itu, Ramkarpal, 38, anak ketiga mendiang Karpal Singh, menang dengan majoriti 37,659 undi.

Beliau meraih 41,242 undi bagi menewaskan calon Parti Cinta Malaysia, Datuk Huan Cheng Guan yang mendapat 3,583 undi serta dua calon BEBAS iaitu Mohamed Nabi Bux Mohd Nabi Abdul Sathar (799 undi) dan Abu Backer Sidek (225 undi). - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 September 2014 @ 9:58 PM