MAS Ermieyati Samsudin. FOTO arkib NSTP
MAS Ermieyati Samsudin. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Melaka: Mahkamah Tinggi hari ini menangguhkan ke 7 Feb ini keputusan bantahan awal terhadap petisyen pilihan raya yang difailkan calon Barisan Nasional (BN) untuk membatalkan kemenangan Datuk Mas Ermieyati Samsudin di Parlimen Masjid Tanah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis menetapkan tarikh itu bagi mendapatkan hujahan tambahan daripada peguam Mohd Faizi Che Abu yang mewakili Mas Ermieyati dan Rosfinah Rahmat yang mewakili Abdul Hakim Abdul Wahid.

Beliau sebelum itu menetapkan hari ini untuk keputusan bantahan awal petisyen berkenaan.

Pada 3 Jan lalu, Abdul Hakim memfailkan petisyen itu atas dakwaan berlaku sogokan berbentuk wang dan jamuan bagi meraih undi pada PRU-15.

Mas Ermieyati yang merupakan responden, kemudiannya mengemukakan bantahan awal antara lain mendakwa petisyen tersebut difailkan di luar masa ditetapkan mengikut Seksyen 38 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Selain itu, Abdul Hakim selaku pempetisyen didakwa melakukan kesilapan kerana tidak menamakan Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan Pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya dalam petisyen tersebut.

Pada PRU-15, Mas Ermieyati (PN-Bersatu) menang dengan majoriti 4,411 undi dalam pertandingan empat penjuru menewaskan Abdul Hakim, Mutalib Uthman (MUDA) dan Handrawirawan Abu Bakar (GTA-Pejuang).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 January 2023 @ 1:25 PM