ANIFAH Aman. FOTO Arkib NSTP
ANIFAH Aman. FOTO Arkib NSTP
Olivia Miwil


MAHKAMAH Pilihan Raya Sabah di Kota Kinabalu, hari ini, menolak kemenangan Datuk Seri Anifah Aman di kerusi Parlimen Kimanis pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kerana didapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

Hakim Lee Heng Cheong membuat keputusan itu selepas mendapati kesilapan pada semua kotak undi yang mempunyai unsur manipulasi termasuk kertas undi tambahan yang melanggar undang-undang pemilihan.

Petisyen itu difailkan oleh Datuk Karim Bujang dari Parti Warisan Sabah (WARISAN) mencabar kemenangan Anifah yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) di Parlimen Kimanis.

Karim memfailkan petisyen itu pada 18 Jun tahun lalu dengan menamakan Anifah sebagai responden pertama dan pegawai pilihan raya untuk Kimanis serta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden kedua dan ketiga.

Peguam Anifah, Tengku Fuad Ahmad, berkata pempetisyen itu menuduh Anifah melakukan rasuah dan amalan rasuah.

"Mahkamah menolak tuduhan itu, yang bermaksud Datuk (Anifah) tidak melakukan apa-apa yang salah dan dia seorang calon yang baik. Dalam hal ini, pempetisyen, (Datuk Karim Bujang) perlu membayar Anifah sebanyak RM105,000.

"Pempetisyen itu juga mendakwa SPR melakukan perkara yang salah ketika pilihan raya berkenaan di kampung Brunei dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cheng Meng yang mana ada 284 kertas undi tambahan di dalam kotak undi yang mana cukup untuk menjejaskan keputusan pilihan raya," katanya.

Fuad berkata, keputusan itu akan menjejaskan kedudukan Anifah dan mungkin menyebabkan pilihan raya.

“Kita akan membuat rayuan kepada Mahkamah Persekutuan,” katanya.

Sementara itu, Peguam Karim, Frederick Chang Tyn Chi, berkata atas keputusan itu Mahkamah Pilihan Raya memerintah SPR membayar Karim sebanyak RM100,000.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Ogos 2019 @ 5:02 PM