MAS Ermieyati.
MAS Ermieyati.
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Mahkamah Pilihan Raya Melaka hari ini mengekalkan kemenangan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Keputusan dibuat Hakim Datuk Abu Bakar Katar selepas mendapati pempetisyen yang juga bekas calon Barisan Nasional (BN) kerusi itu, Abdul Hakim Abdul Wahid gagal membuktikan melampaui keraguan munasabah responden atau ejennya melakukan sogokan ketika kempen PRU-15 bagi mempengaruhi pengundi dalam keputusan pilihan raya bagi kerusi parlimen berkenaan.

Katanya, keputusan dibuat selepas meneliti dan memperhalusi Nota Keterangan membabitkan 28 saksi iaitu 25 daripada pempetisyen dan tiga daripada responden termasuk Mas Ermieyati sepanjang perbicaraan selama 13 hari serta menimbangkan penghujahan bertulis difailkan kedua-dua pihak.

Katanya, pempetisyen bergantung kepada dua alasan utama dalam Petisyen Pilihan Raya bagi membatalkan kemenangan responden iaitu berlakunya penyogokan wang oleh ejen responden semasa hari pengundian berlangsung dan penjamuan yang diadakan pada 3 Disember 2022 di markas Pas Pasir Gembur.

Beliau berkata, pempetisyen bergantung kepada sogokan wang terhadap tiga individu saksi pendakwaan (SP) oleh Pengerusi Tetap Pemuda Bersatu, Akmal Zahin Zainal Tahir yang diberikan di luar sebuah rumah di Taman Masjid Tanah dan oleh bekas setiausaha sulit Mas Ermieyati, Noorashimah Nordin di dalam premis.

"Mahkamah berpendapat SP tidak mengenali siapa individu yang memberi wang di luar premis pada hari pengundian selain kegagalan pempetisyen memanggil Akmal Zahin dan Noorashimah hadir memberi keterangan meninggalkan kelompangan kepada kes mereka.

"Persoalan seterusnya adakah Akmal Zahin dan Norashimah ejen kepada responden juga gagal dibuktikan selain mahkamah berpendapat fakta Akmal Zahin memegang jawatan tinggi dalam parti Bersatu bukan automatik 'kepentingan bersama' dipenuhi bagi menentukan hubungan seseorang itu ejen kepada calon bertanding.

"Jadi mahkamah berpendapat responden tidak mempunyai pengetahuan atau memberi kebenaran kepada keduanya untuk hadir di premis itu dan memberi wang sogokan jika dibuktikan," katanya.

Beliau berkata, mengenai penjamuan, mahkamah turut menimbangkan kehadiran 400 hingga 500 orang pada majlis itu tidak dapat mempengaruhi keputusan jumlah majoriti undi diperoleh responden sebanyak 4,411.

"Berdasarkan alasan dinyatakan mahkamah berpendapat pempetisyen gagal membuktikan melampaui keraguan munasabah responden atau ejennya melakukan sogokan wang atau penjamuan sebagaimana diplidkan dalam petisyen Pilihan Raya hingga boleh membatalkan kemenangan responden.

"Menurut peruntukan Sesyen 36 (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya (AKPR) 1954 mahkamah memutuskan responden dilapor pilih dengan sewajarnya sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah dalam PRU-15 dan akan memaklumkan keputusan ini kepada Suruhanjaya Pilihan Raya menurut peruntukan Seksyen 36 (2) AKPR," katanya yang menolak petisyen dengan kos RM50,000 kepada pempetisyen.

Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun mewakili mewakili Abdul Hakim manakala Mas Ermieyati diwakili Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Pada 3 Januari lalu, Abdul Hakim memfailkan petisyen di Mahkamah Pilihan Raya Melaka bagi membatalkan kemenangan Mas Ermieyati yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) dengan dakwaan berlaku sogokan wang dan jamuan bagi meraih undi.

Mas Ermieyati bagaimanapun kekal Ahli Parlimen Masjid Tanah selepas mahkamah menolak petisyen itu sebelum Mahkamah Persekutuan memerintahkan petisyen berkenaan dikembalikan kepada Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan penuh.

Pada 19 November 2022, Mas Ermieyati mempertahankan kerusi Parlimen berkenaan selepas menewaskan tiga calon lain iaitu Abdul Hakim, Mutalib Uthman (Muda) dan Handrawirawan Abu Bakar (Pejuang).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2023 @ 10:38 AM