Oleh Shakilawati Abd Rahman

Pembabitan Hafreez Adam dalam dunia lakonan masih hijau tetapi drama Bila Hati Berbicara berjaya melonjakkan namanya.

Sejak drama adaptasi novel nukilan Antasya Balqis itu disiarkan menerusi slot Akasia di TV3, dia mula mendapat perhatian peminat, bahkan ramai memanggilnya Badri, nama watak yang dibawa berbanding nama sebenarnya.

Lebih mengejutkan Hafreez apabila namanya disenaraikan peminat untuk kategori Artis Baru Lelaki Popular di Anugerah Bintang Popular BH 2014 (ABPBH2014).

Katanya, rasa macam mimpi apabila namanya turut dalam senarai Top 5 bersama Hisyam Hamid, Syukri Yahya, Nazrief Nazri dan Syarul Ridzwan.

"Ia kejutan besar dan tidak pernah terlintas dalam fikiran saya dan bersyukur atas kepercayaan diberikan peminat. Sebagai pendatang baru, pencalonan ini sesuatu yang positif dan sungguh membanggakan," katanya.

Hafreez yang terlebih dulu mencipta nama sebagai peragawan pentas dan komersial sebelum berjinak-jinak dengan bidang lakonan mengakui, kehadirannya selama ini kurang mendapat perhatian.

Namun selepas Bila Hati Berbicara bersiaran, dia dapat rasakan perubahan besar yang berlaku. Ke mana-mana saja dia pergi, ada peminat menyapa dan mahu bergambar.

"Mungkin penangan drama itu yang melayakkan saya ke Top 5. Saya terharu dengan sokongan diberikan peminat. Maklum balas positif yang saya terima daripada mereka menjadi pemangkin semangat untuk pergi lebih jauh dalam bidang ini," katanya.

Kata Hafreez, dia baru selesai menjalani penggambaran telefilem Ini Jalan Kita dan Lima Kali Cinta.

Kini dia rancak menjayakan drama rantaian Hati Perempuan dan ada beberapa tawaran lain menanti, termasuk telefilem untuk bulan puasa, Sesumpah Ramadan.

"Alhamdulillah, rezeki saya kebelakangan ini semakin murah. Lepas selesai satu penggambaran, ada projek baru menanti.

"Bahkan, banyak juga tawaran datang serentak dan biasanya saya teliti watak dan jalan cerita selain ambil kira mana tawaran yang datang dulu.

"Misalnya, baru-baru ini ada tiga tawaran dan saya pilih yang paling kurang kemunculan tetapi ada kelainan pada watak. Kalau ikutkan, memang berat hati melepaskan dua lagi tawaran, tetapi saya tidak boleh tamak. Jika mahu jadi pelakon yang bagus, saya kena utamakan kualiti berbanding kuantiti.

"Karakter dalam Hati Perempuan lain dari yang pernah saya lakonkan sebelum ini, malah penonton akan dapat lihat graf turun naik watak itu," katanya.

Kata Hafreez, watak antagonis lebih dekat di hatinya, malah berharap diberi peluang melakonkan watak psiko satu hari nanti. Sebagai orang baru, dia mahukan lebih cabaran dan watak sebegitu kerana ia boleh jadi kayu pengukur sejauh mana kemampuan sebenarnya.

Pun begitu, tidak bermakna dia menolak watak baik kerana sedia maklum ia mampu membuatkannya disukai dan disayangi ramai.

"Saya bukan jenis memilih. Mana tawaran yang datang dulu saya akan ambil, tidak kira watak putih atau gelap.

"Namun, kalau ditanya mana satu lebih saya suka, sudah tentu watak gelap kerana permainannya lebih besar. Lagipun kita tidak ramai pelapis untuk watak sebegitu dan saya mahu mengisi kekosongan itu.

"Saya tidak kisah dibenci peminat kerana watak. Jika mereka marah dan tidak suka watak lakonan saya, bermakna persembahan saya menjadi.

"Sebanyak mana pun penonton bencikan watak itu, mereka sedar itu hanya lakonan dan bukan diri saya yang sebenar. Jadi tidak ada apa yang perlu dirisaukan," kata Hafreez yang berdebar-debar menanti tayangan filem Juvana 2 dan 3 yang dibintanginya.

Hafreez turut memaklumkan, dia rindu untuk kembali aktif di pentas peragaan namun hingga kini hasratnya belum kesampaian.

"Dunia peragaan sebati dengan diri saya tetapi sejak berlakon, tidak ada lagi tawaran datang. Barang kali penganjur takut memandangkan saya bergelar pelakon dan bimbang saya letak harga tinggi. Hakikatnya kalau mereka panggil, saya akan buat dan tidak berkira soal bayaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mac 2015 @ 5:05 AM