Kuala Lumpur: Jika kemenangan yang mahu dicari skuad bawah 22 tahun negara (B-22) dalam aksi menentang Macau pada pusingan kelayakan AFC B-23 hari ini, sesuatu harus dilakukan jurulatih Razip Ismail (gambar) khususnya di bahagian serangan.

Kekalahan kepada Vietnam 1-2 pada aksi pembukaan Kumpulan I kelmarin bukan saja memperlihatkan kelemahan pertahanan yang melepaskan dua gol mudah malah bahagian serangan juga turut gagal berfungsi dengan baik.

Tidak banyak gerakan bahaya dicipta skuad negara dengan Razip menurunkan Muhammad Syafwan Syahlan sebagai penyerang tunggal manakala penyerang berpengalaman Syahrul Azwari Ibrahim serta S Kumaahran yang menyerlah ketika muncul juara Piala Emas Bangabandhu Februari lalu diketepikan.

Hanya sepakan percuma jarak jauh menarik daripada kapten Nazirul Naim Che Hashim mampu menembusi gawang Vietnam manakala percubaan lain mudah dipatahkan pertahanan lawan.

Bertemu Macau di Stadium Shah Alam, Malaysia bukan saja perlu menang untuk menghidupkan sisa-sia perjuangan mereka malah perlu mencipta jaringan besar kerana perbezaan gol dalam saingan peringkat kumpulan ini turut diambil kira.

Bagi Kumaahran, 19, dia bersedia jika diberi peluang oleh jurulatih untuk baki dua perlawanan terakhir dengan Macau dan Jepun.

“Kalau diberi peluang, saya nak main betul-betul untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama. Saya tidak mengalami sebarang kecederaan dan yakin prestasi OK ketika ini namun segalanya terletak di tangan jurulatih.

“Lawan Macau kita kena menang untuk mengutip mata jika mahu layak kerana selepas ini kita bakal berdepan Jepun. Kekalahan dengan Vietnam tidak perlu diperkatakan lagi. Kena fokus perlawanan seterusnya,” katanya yang pernah mendapat perhatian jurulatih Dollah Salleh untuk diserapkan dalam skuad Harimau Malaya sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2015 @ 5:15 AM