Kuala Lumpur: Perkhabaran buruk menyelubungi skuad bawah 22 tahun negara (B-22) apabila penyerang utama Shafiq Shaharudin (gambar) terpaksa diketepikan daripada kejohanan kelayakan AFC B-23 bermula Jumaat ini.

Pemain Johor Darul Ta’zim II (Johor DT II) itu yang dipanggil menyertai skuad kendalian Razip Ismail bagi sesi latihan dan aksi persahabatan di Yangon, Myanmar minggu lalu mengalami kecederaan lutut kiri ketika beraksi dalam perlawanan menentang Myanmar B-22.

Bagi Razip, ketiadaan pemain berusia 21 tahun itu yang menyumbat gol penyamaan ketika seri 1-1 dengan Myanmar B-22 menjejaskan sedikit persiapan bagi mengharungi kempen kelayakan Kumpulan I.

“Shafiq sudah membuat pemeriksaan doktor hari ini (semalam) dan mendapati dia tidak boleh beraksi untuk kejohanan kelayakan ini. Dia aset besar kepada pasukan kerana beraksi baik bersama kelab dan cemerlang menjaringkan gol untuk pasukan ini ketika menentang Myanmar. Memang ketiadaannya dirasai.

“Tapi saya masih mempunyai penyerang seperti S Kumaahran dan Muhammad Syafwan Syahlan untuk mengisi kekosongan itu,” katanya yang tidak membenarkan media tempatan dan luar negara membuat liputan latihan pasukan semalam.

Ketiadaan Shafiq yang meledak lima gol untuk Johor DT II dalam Liga Perdana musim ini menyaksikan Razip hanya akan menggugurkan dua lagi pemain untuk melengkapkan senarai akhir 23 pemain.

Skuad B-22 negara akan memulakan saingan Kumpulan I menentang Vietnam Jumaat ini sebelum berdepan Macau (29 Mac) dan Jepun (31 Mac) bagi memburu slot juara kumpulan atau lima pasukan kedua terbaik untuk layak ke pusingan akhir tahun depan di Qatar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2015 @ 9:15 AM