Oleh Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: Apa sudah jadi dengan skuad bawah 22 tahun negara (B-22) kendalian Razip Ismail?

Itu kebimbangan yang mula membelenggu prestasi pasukan itu berikutan dikejutkan dengan kekalahan 0-3 kepada Myanmar B-20 pada aksi persahabatan di Stadium Youth Training Centre, Yangon kelmarin.

Meskipun sekadar perlawanan pemanas badan, kekalahan di tangan pasukan lebih muda menjelang kejohanan kelayakan AFC B-23 di Shah Alam hujung bulan ini tidak sepatutnya berlaku ketika Razip membariskan pemain utamanya yang memenangi Piala Emas Bangabandhu, Februari lalu.

Menurut bekas pemain kebangsaan Serbegeth Singh, adalah tidak adil untuk terlalu mengambil kira keputusan aksi persahabatan, namun beliau bimbang pasukan itu kehilangan rentak sehingga terbawa-bawa ke kejohanan sebenar.

“Kadang-kala kita terlalu banyak membuat andaian berdasarkan perlawanan persahabatan, tapi kekalahan itu bukanlah situasi yang baik kerana takut terbawa-bawa sehingga ke kejohanan sebenar.

“Kita sudah lihat pasukan ini memenangi kejohanan di Bangladesh (Piala Emas Bangabandhu) jadi seharusnya pasukan ini beraksi lebih yakin. Saya harap kekalahan itu tidak memberi banyak kesan kepada rentak permainan kerana mulai sekarang mereka sepatutnya sudah berada di prestasi terbaik,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Keputusan buruk anak buah Razip itu bukan yang pertama dicatat selepas kejayaan di Piala Emas Bangabandhu kerana mereka turut kecundang 0-1 kepada Indonesia B-22 di Surabaya, kalah 0-1 di tangan Fiji B-20 (Shah Alam) namun berjaya menang 2-1 ke atas Pakistan B-23 (Shah Alam).

Serbegeth atau turut dikenali sebagai Shebby berpendapat, Razip perlu mengekalkan pemain utamanya serta hanya menambah satu atau dua pemain luar saja bagi aksi kelayakan nanti kerana sudah kesuntukan masa membuat rombakan besar-besaran.

“Agak hairan kenapa prestasi mereka tidak konsisten kerana mereka ini pernah menjuarai kejohanan di luar negara. Razip perlu percaya dengan pemain yang beliau miliki ketika ini dan saya harap mereka boleh bangkit selepas ini,” katanya.

Skuad B-22 negara berdepan tugas mencabar untuk melepasi pusingan kelayakan AFC B-23 apabila bakal bersaing dengan Jepun, Vietnam dan Macau dalam Kumpulan I di Stadium Shah Alam bermula 28 Mac ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2015 @ 7:54 AM