Oleh Aziman Rosdi


Kuala Lumpur: Mungkin tidak adil untuk mengatakan kempen skuad bawah 22 tahun negara (B-22) pada kelayakan AFC B-23 sudah berakhir berikutan kekalahan 1-2 di tangan Vietnam kelmarin namun hakikatnya tiada siapa kini yakin mereka mampu layak dengan mengalahkan Jepun pada aksi terakhir kumpulan I.

Malah pengendali skuad muda negara itu Razip Ismail yang mengambil alih tugas daripada Datuk Ong Kim Swee secara tiba-tiba oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sendiri seakan akur bahawa anak buahnya kini di ambang penyingkiran meskipun mereka mampu mengatasi Macau di Stadium Shah Alam hari ini.

“Jika seri (dengan Vietnam) mungkin ceritanya berbeza. Namun kekalahan ini meletakkan kami hampir terkeluar daripada saingan. Jika kita menang dengan Macau sekalipun, susah untuk menewaskan Jepun,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan kelmarin.

Dengan Malaysia dijangka tidak berdepan masalah mengatasi Macau, tiga mata penuh menentang Vietnam kelmarin amat penting buat pasukan tuan rumah merebut peluang sekurang-kurangnya menjadi lima pasukan terbaik kumpulan untuk layak ke pusingan akhir di Qatar tahun depan memandangkan Jepun sukar digugat bagi tiket selaku juara kumpulan.

Jika gagal layak, ini mungkin harga yang terpaksa dibayar FAM atas kekalutan yang mereka cipta sendiri dengan membuat perubahan drastik menyerahkan tugas yang pada mulanya dipikul jurulatih Harimau Muda A Kim Swee kepada Razip (Harimau Muda B) yang kurang berpengalaman.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2015 @ 6:38 AM