PANDALELA (kiri), Tze Liang bersama pingat masing-masing.
PANDALELA (kiri), Tze Liang bersama pingat masing-masing.

Kuala Lumpur: Tiada kilauan pingat emas mampu dijelmakan dua penerjun harapan negara, Ooi Tze Liang dan Pandelela Rinong apabila kedua-duanya kecundang kepada lawan dari China dalam saingan Grand Prix Terjun FINA di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Pemenang emas Sukan Komanwel Glasgow, Tze Liang sekadar meraih perak dalam acara 3 meter papan anjal manakala Pandelela meraih gangsa acara 10 meter platform.

Tembok Besar China nyata terlalu ampuh buat Tze Liang apabila ketinggalan 49.65 mata kepada lawan dari China, Li Shixin yang mengumpul 510.70 mata manakala rakan senegaranya, He Chao meraih gangsa dengan kutipan 440.65 mata selepas melakukan enam terjunan.

“Saya sebenarnya tidak sangka mampu meraih perak, namun terjunan hari ini (semalam) kelihatan konsisten. Saya tidak melakukan sebarang kesilapan besar walaupun pada peringkat awal dan separuh akhir melakukannya,” katanya.

Ditanya kejayaan menewaskan Chao, dia berkata, penerjun dari China itu menunjukkan prestasi lebih baik.

Ratu terjun negara, Pandelela pula terpaksa berpuas hati di tempat ketiga manakala penerjun muda negara, Loh Zhiayi terpaksa akur di tempat keempat.

“Memang dia mempamerkan peningkatan dan mungkin menyamai tahap saya tidak lama lagi. Namun saya akan terus memberi tumpuan kepada diri sendiri dan cuba meningkatkan prestasi,” kata penerjun negara itu.

Acara itu didominasi dua penerjun China dengan Ren Qian meraih emas manakala Si Yajie perak.

Grand Prix Terjun FINA di Bukit Jalil akan diteruskan dengan beberapa acara lagi hari ini dan esok.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Oktober 2014 @ 5:05 AM