AKSI Yi Wei dalam acara   3 meter (m) papan anjal individu lelaki. - FOTO Bernama
AKSI Yi Wei dalam acara 3 meter (m) papan anjal individu lelaki. - FOTO Bernama
Iskandar Shah Mohamed

DUA penerjun negara, Chew Yiwei dan Ooi Tze Liang terlepas peluang layak secara merit ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 dalam acara 3 meter (m) papan anjal individu lelaki. 

Pada Kejohanan Terjun Piala Asia 2019 di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil hari ini, Yiwei hanya meraih pingat perak selepas tewas kepada penerjun Jepun, Ken Terauchi. 

Pingat gangsa pula diraih Tze Liang selepas enam terjunan dalam acara yang disertai 10 penerjun itu. 

Yiwei yang juga penerjun pingat gangsa Sukan Asia 2018 mengakui hilang fokus dan membuat kesilapan pada terjunan kelimanya. 

"Terjunan saya sebelumnya baik namun ia berubah ketika terjunan kelima selain turut merasai kesan kecederaan lama pada kiri. 

"Selain itu, penerjun lain mempamerkan terjunan konsisten dan membuatkan saya sedikit hilang fokus," katanya ketika ditemui Arena Metro. 

Untuk rekod, pemenang pingat emas dalam acara itu secara automatik memperoleh tiket ke Sukan Olimpik Tokyo. 

Pada Kejohanan Terjun Dunia FINA ke-18 di Gwangju, Korea Selatan, Julai lalu, Yiwei dan Tze Liang turut terlepas peluang apabila hanya mampu menduduki tempat ke 25 dan 41 daripada 57 peserta selepas enam terjunan. 

Dua penerjun itu bagaimanapun masih mempunyai peluang memburu slot ke Sukan Olimpik Tokyo pada Piala Dunia 2020, April tahun depan. 

Setakat ini, tiga penerjun wanita, Pandelela Rinong, Leong Mun Yee dan Wendy Ng Yan Yee turut melayakkan diri ke temasya terbesar dunia itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 September 2019 @ 9:30 PM